Melaka Bakal Tubuh Bank Inovasi, Bantu Komersial Hasil Produk
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan berkata penubuhannya itu juga akan melibatkan kerjasama daripada syarikat berkaitan inovasi, institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bank Inovasi Melaka ini juga dilihat mampu menjadi platform untuk mengkomersialkan produk inovasi dan reka cipta yang dihasilkan oleh mana-mana penyelidik di negeri ini tidak kira pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, jabatan dan agensi kerajaan mahu pun pihak swasta.
“Namun melaluinya juga kita akan bantu untuk semak kesahihan dan ketulenan sesuatu produk inovasi yang dihasilkan sebelum ia dibawa untuk dipatenkan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu pada Segmen Apa Khabau YB di Konti Melaka FM di Jabatan Penyiaran Melaka, Jalan Taming Sari di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi platform itu ia bukan sahaja dapat mempromosi hasil inovasi dan kreativiti penyelidik malah berkongsi kepakaran mereka dalam bidang tersebut untuk kemudahan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya kini giat menyiapkan gerak kerja bagi merealisasikan hasrat Melaka menjadi perintis kepada pelaksanaan Kampung Digital iaitu satu inisiatif baharu dalam usaha mentransformasi kawasan kampung di negeri itu.
Katanya idea cetusan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu meliputi penambahbaikan kepada sistem penyampaian dan penghantaran dengan mewujudkan sistem nombor yang dilihat lebih sistematik bagi setiap rumah di kawasan kampung.
“Menerusi projek Kampung Digital, setiap rumah penduduk akan mempunyai nombor sendiri yang dilihat lebih tersusun dan kajian mengenainya sedang dilakukan secara menyeluruh, kita percaya ia akan dapat dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya. – BERNAMA