Norshida Harap PAU 2023 Jadi Medan Penyatuan Ahli Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berharap agar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang bakal berlangsung ini akan menjadi medan penyatuan kepada ahli dan akar umbi.

Jelasnya, penyatuan tersebut perlu dizahirkan meskipun UMNO telah ditolak hebat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan hanya melengkapi Kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong.

“Harapan saya untuk PAU 2023 ini adalah kita kembali bersatu padu kerana UMNO merupakan sebuah parti yang dikenali sebagai parti terkuat sejak Merdeka. Tetapi selepas PRU ke-15 kita perlu menerima bahawa hakikatnya kita hanya melengkapi sebahagian Kerajaan Perpaduan.

“Kita nyaris hanyut tetapi dengan gabungan Kerajaan Perpaduan, kita masih diberi peluang dengan Presiden UMNO kita yang mengisi tempat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga diberikan beberapa posisi menteri demi kelansungan hidup bangun UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar parti keramat Melayu ini akan terus bangkit bagi memperjuangkan bangsa dan tanah air.

“Harapan kedua saya ialah UMNO perlu bangkit sebagai tonggak dalam perpaduan Melayu. Kegagalan menyusun strategi dan kita perlu terima bahawa pada keputusan PRU ke-15 adalah paling memalukan dalam sejarah UMNO apabila kita hanya menguasai 26 kerusi parlimen. Ini menunjukkan perpaduan Melayu diambang pepecahan yang semakin kompleks.

“Percayalah bahawa kita sedar yang kita senantiasa bercakaran ‘seperti anjing dan kucing’, maka yang dapat manfaat daripada pepecahan kita adalah bangsa lain,” katanya lagi.

Menurut Norshida lagi, perpecahan perpaduan yang berlaku agak menggusarkan dan mungkin bakal menyebabkan berlaku pergeseran kuat antara kaum.

“Adakah kita tidak mengenal erti perpaduan Melayu ini demi memperjuangkan dan mempertahankan orang-orang melayu? Adakah kita mengetahui ketidakstabilan orang Melayu adalah punca peristiwa pahit 13 Mei 1969 itu berlaku?

“… yang kita gusar pepecahan perpaduan kita ini akan berlaku lagi tekanan geseran yang kuat antara kaum seperti mana 13 Mei 1969 yang lepas.

“Percayalah bahawa perpaduan Melayu adalah masa depan negara kita. Kita sebenarnya di dalam kealpaan. Maka, menerusi PAU inilah perlunya pucuk pimpinan menyatukan kembali perpaduan Melayu dengan memulakan kesatuan di dalam UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.