Kerajaan Mengguna Pakai Dasar Ekonomi Biru – Mohamad
LANGKAWI, 24 Mei – Kerajaan Malaysia berminat untuk menerima pakai dan melaksanakan cadangan dasar Ekonomi Biru, yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan, harus sejajar dengan mengekalkan kesihatan lautan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dalam mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan kesihatan lautan, Ekonomi Biru menjamin perancangan yang betul, dan pengurusan ruang maritim.
“Isu-isu utama, seperti kawalan pencemaran, kesihatan ekosistem marin, dan perikanan mampan, harus sentiasa menjadi keutamaan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG),” katanya dalam ucap utama pada pelancaran Persidangan Maritim Langkawi, yang diadakan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23), di sini hari ini.
Beliau berkata disebabkan persekitaran geopolitik maritim yang dinamik, cabaran yang dihadapi tidak terhad kepada ancaman tradisional.
“Keselamatan maritim kita, juga sangat tercabar, oleh ancaman bukan tradisional, seperti pemerdagangan haram barangan dan manusia; penangkapan ikan haram, tidak terkawal dan tidak dilaporkan, (IUU fishing); cetak rompak, keganasan; ancaman kepada ekosistem marin, seperti perubahan iklim; serta perkapalan dan pencemaran berasaskan darat.
“Oleh itu, kita perlu melihat semula pendekatan kita dalam menguruskan perairan kita dan sumber marin. Selama bertahun-tahun menjadi sebuah negara yang matang, Malaysia telah meluluskan sekurang-kurangnya 15 akta dan peraturan untuk menguruskan ruang maritim kita. Penguatkuasaan undang-undang diamanahkan kepada lebih 10 kementerian, dan 31 agensi berkaitan maritim. Senario ini, pasti terdapat pertindihan bidang kuasa, yang akhirnya akan membawa kepada penggunaan sumber yang tidak cekap,” katanya.
Mohamad berkata persidangan maritim itu adalah platform strategik untuk memudahkan perbincangan yang rancak, substantif dan bermakna dalam kalangan pihak berkepentingan maritim.
Beliau berkata persidangan itu telah mengumpulkan pihak berkepentingan dalam hal ehwal maritim negara yang terdiri daripada pegawai kerajaan, agensi maritim dan pemain industri serta institusi akademik tempatan dan antarabangsa.
“Terdapat banyak yang perlu dilakukan, dan banyak cabaran yang perlu diatasi, untuk Malaysia berkembang maju sebagai sebuai Negara Maritim. Visi kita akan menjadi kenyataan, dengan syarat kita bersedia untuk berganding bahu, dan mara ke hadapan bersama-sama. Forum ini boleh menjadi landasan pelancaran untuk Malaysia mengemudi sebagai Negara Maritim,” katanya.
Mohamad berkata persidangan bertemakan: Malaysia, a Maritime Nation: Steering the Course’ adalah bersesuaian dan relevan yang akan menawarkan peluang dan kemajuan untuk menjadi sebuah negara maritim sejati. – BERNAMA