Akta 134 Akan Dipinda, Aspek Perundangan Tanah Dan Perkahwinan Ditambah Baik

PUTRAJAYA, 23 Feb – Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) bakal dipinda dengan menambah baik aspek perundangan melibatkan pemilikan tanah dan pendaftaran perkahwinan, serta kelahiran anak Orang Asli, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata terdapat keperluan untuk meminda akta berkenaan, yang akan dibentangkan tidak lama lagi di Dewan Rakyat.

“Pindaan ini diperlukan, kerana terdapat beberapa kekangan terutamanya dari segi pemilikan tanah dalam kalangan Orang Asli dan mereka perlu diberikan hak secara perundangan terhadap kawasan rayau (kawasan perkampungan) dan hak milik tanah kekal.

“Terdapat juga kekangan daripada Kanun Tanah Negara dan perundangan yang ‘tersangkut’ dalam soal hal ehwal tanah melibatkan kerajaan negeri. Dengan adanya pindaan ini, kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan terjalin,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata elemen pendaftaran perkahwinan juga termaktub dalam pindaan tersebut, memandangkan kebanyakan Orang Asli berdepan masalah dokumentasi perkahwinan kerana berkahwin secara adat, seterusnya menyebabkan anak-anak mereka tidak mempunyai sijil kewarganegaraan yang sah.

“Masyarakat Orang Asli perlu diberi peluang sama rata bagi menjaga kepentingan mereka dan untuk itu, kerajaan amat komited untuk melaksanakan sebarang pembangunan bagi golongan itu,” katanya.

Bagi peluang pendidikan pula, Ahmad Zahid berkata ia perlu diberikan sehingga pendidikan tertinggi, dengan sasaran 300 anak Orang Asli wajib memasuki universiti tahun ini.
“Untuk mencapai matlamat itu, program motivasi dan kelas tambahan akan dilaksanakan, kerana jika diberikan pendidikan tertiari, mereka sekurang-kurangnya dapat melakukan perubahan kepada keluarga sendiri,” katanya.

Beliau berkata Urusetia Pembangunan Ekonomi Orang Asli juga telah ditubuhkan hari ini dengan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor, yang juga merupakan kaum Orang Asli dilantik sebagai pengerusi manakala JAKOA sebagai sekretariat.

Beliau berkata perkongsian pintar juga akan dilakukan dengan mana-mana syarikat atau pihak swasta, bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat dalam perkampungan Orang Asli.

Ketika ini, terdapat 209,000 masyarakat Orang Asli di seluruh negara. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit