Menjadi Tanggungjawab UMNO Berjuang Pertingkat Tahap Ekonomi Orang Melayu- Zaidi
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Wakil pembahas Perak, Mohd Zaidi Aziz berkata sudah menjadi satu tanggungjawab kepada UMNO untuk berjuang mempertingkatkan tahap ekonomi orang Melayu.
Katanya ini kerana kuasa politik memastikan ekosistem ekonomi yang baik menerusi penyediaan dasar yang betul sesuai dengan kepentingan ekonomi.
“Namun apabila ekonomi mendapat gangguan politik sepanjang masa, pertumbuhannya akan terbantut untuk jangka panjang.
“Pelabur lari dan kita rugi, rakyat teraniaya dan negara caca-marba. Justeru, jurang ekonomi sememangnya menjadi titik fokus kepada keharmonian yang kita harapkan.
“Ini selaras dengan Perjanjian Persefahaman Pembentukan Kerajaan Perpaduan untuk mengecapi kemakmuran bersama,” katanya menerusi perbahasan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO.
Beliau yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim turut menyentuh berkenaan masa depan UMNO sambil mengingatkan bahawa data dari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menunjukkan parti ini semakin kurang mendapat sokongan rakyat termasuk orang Melayu dan anak muda.
“Mengapakah ini terjadi? Apakah silapnya percaturan kita? Dan apakah natijahnya dalam menghadapi hari-hari mendatang yang pastinya akan lebih mencabar.
“Ramai yang tertanya, adakah parti keramat UMNO masih relevan sebagai parti pilihan orang Melayu? Apakah politik kebajikan UMNO masih relevan selepas kalah PRU15?
“PRU14 dan PRU15 membuktikan pengundi Melayu sudah memiliki budaya kosmopolitan dan progresif, tidak lagi boleh menerima budaya politik yang lama,” ujar beliau.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim itu malah berkata politik kebajikan yang diamalkan UMNO sekian lama di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman tidak lagi mendapat tempat di hati pengundi.
“…ia bukan satu perbuatan kebaikan atau kebajikan yang perlu dibalas dengan sokongan undi semasa pilihan raya.
“Malah parti yang menentang UMNO tidak perlu memberi sumbangan pampers dan kotak bantuan kepada rakyat, namun mereka telah mendapat sokongan kuat,” ujar beliau. – UMNO Online