Mewajah Masa Hadapan UMNO Demi Depani Cabaran Politik Mendatang
KUALA LUMPUR, 13 Jan – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Samsudin menggaris beberapa perkara yang perlu dilakukan sebagai tekad untuk memastikan parti ini bangkit daripada berdepan dengan cabaran politik yang mendatang.
Katanya ini termasuk mewajahkan kembali parti ini bagi memastikan UMNO berterusan relevan dan menjadi naungan kepada rakyat khususnya orang Melayu.
“Saya menyokong penuh ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertemakan mewajah masa hadapan sebagai kerangka besar untuk UMNO mengorak langkah ke hadapan.
“… dengan hala tuju yang jelas demi memastikan UMNO terus relevan dan mampu menjadi tempat bernaung umat Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya yang bertindak sebagai pembawa usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Beliau dalam pada itu berharap agar Kerajaan Perpaduan Malaysia yang didukung oleh UMNO dipertahankan sehingga tamat penggal Parlimen Ke-15 sebagai membuktikan kesungguhan UMNO untuk memastikan kestabilan politik.
“Menuntut semua parti dalam Kerajaan Perpaduan berpegang teguh kepada perjanjian persefahaman pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia terutama yang menyangkut soal Islam, Bahasa Melayu, Bumiputera dan Raja-raja Melayu.
“Saya juga menggesa agar Kerajaan Perpaduan Malaysia menyegerakan pelaksanaan usaha-usaha menggarap matlamat bersama parti-parti yang membentuk kerajaan dalam soal kesejahteraan, kesentosaan dan keselesaan hidup rakyat,” ujar beliau.
Sementara itu, Mohd Shukri juga berharap untuk parti keramat ini bertekad untuk terus menyuburkan perpaduan dan kesatuan dalam UMNO bersandarkan kepada idealisme perjuangan UMNO.
Katanya ini juga dengan meletakkan ketaatan kepada perjuangan parti mengatasi kepentingan diri serta bertindak tegas pada kadar segera terhadap unsur-unsur yang cuba mengkhianati kerukunan parti.
Menurut beliau lagi, langkah mengikhtiar pendekatan baharu juga perlu dilakukan bagi menggarap idea dan pemikiran generasi muda yang menjadi kumpulan majoriti pengundi.
“Ini penting agar pendekatan-pendekatan lebih segar dapat diambil dan berupaya menverlahkan potensi anak-anak muda sebagai set penting kepada negara.
“Saya juga mendesak kerajaan melakukan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk penelewengan dan ketirisan dana awam serta pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang tanpa pilih kasih,” katanya. – UMNO Online