‘Sang Saka Bangsa’ Berkibaran, Perhimpunan Agung Parti Keramat Melayu Bermula
KUALA LUMPUR, 13 Jan – Tirai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 disempurnakan dengan kibaran bendera keramat ‘Sang Saka Bangsa’ di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pagi ini.
Upacara tersebut dimulakan dengan menaikkan bendera UMNO yang diiringi lagu Wanita, seterusnya Pergerakan Pemuda dan diikuti Pergerakan Puteri UMNO yang dilakukan oleh ketua masing-masing.
Wanita UMNO disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Pergerakan Pemuda UMNO oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki manakala Datuk Zahida Zarik Khan bagi Pergerakan Puteri UMNO.
Ini kemudian disusuli dengan nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dengan ‘Sang Saka Bangsa’ sempurna dikibarkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut diiringi Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan.
Hadir sama menyaksikan upacara naik bendera adalah Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO.
Terdahulu PAU 2022 sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember 2022 bagaimanapun ditangguhkan kerana bertembung dengan cuti persekolahan.
Penganjuran kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap selaku pemerhati khas.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini kerana, ketua penerangan memainkan peranan penting di bahagian masing-masing dalam memberikan penjelasan di peringkat akar umbi berkenaan persidangan PAU. – UMNO Online