Kemelut Politik Sabah: Cara Terbaik Adalah Dengan Wujudkan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Cara yang terbaik untuk menyelesaikan pergolakan politik di Sabah ialah dengan mewujudkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu, selari dengan kerajaan di peringkat pusat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut tidak mustahil untuk dilaksanakan dan ianya perlu disantuni mengikut acuan keserasian di Sabah.

“Cara yang terbaik adalah dengan mewujudkan Kerajaan Perpaduan di Sabah dan ianya melibatkan semua parti politik di peringkat pusat. Tetapi agak sukar walaupun tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Kita mesti mewujudkan keserasian di antara parti-parti politik kerana sudah tentu mereka mempunyai hala tuju masing-masing.

“Tentu cara di Sabah berlainan dengan cara di pusat. Cara di Sarawak juga berbeza. Oleh sebab itu, kita harus menyantuni masalah politik di Sabah mengikut keserasian mereka. Itu paling penting,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang bersama Exco-Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

Jumaat lepas, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Nor, susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

Bagaimanapun pada Sabtu, lima wakil rakyat daripada BN menyatakan pendirian menyokong Hajiji dan merupakan antara 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa masih memberikan sokongan kepada beliau sebagai Ketua Menteri serta mengekalkan kerajaan negeri ketika ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempunyai 79 ADUN termasuk enam yang dilantik.

Mengulas lanjut mengenai majlis ramah mesra tersebut, Ahmad Zahid berkata pertemuan seperti itu sudah menjadi kelaziman sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Ini perjumpaan biasa. Pagi tadi saya berjumpa dengan Wanita, petang ini bertemu dengan Pergerakan Puteri dan saya tunggu masa yang sesuai untuk bertemu Pergerakan Pemuda. Ini memang menjadi kelaziman sebelum perhimpunan sayap-sayap dan perhimpunan agung diadakan.

“Keduanya, saya menyampaikan beberapa pesanan yang saya tidak boleh sampaikan secara terbuka di Taklimat Presiden ataupun ketika ucapan dasar. Tentu ada mesej tertentu yang bersesuaian dengan kumpulan Wanita dan Pergerakan Puteri, berbeza kumpulan dan kotak pemikirannya.

“Namun, mereka masih mempunyai tujuan yang sama iaitu memperkukuhkan lagi parti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberikan nasihat yang sewajarnya kepada Exco-Exco Pergerakan Puteri UMNO dalam perjumpaannya tadi dan menerangkan hala tuju parti.

“Tentunya mereka bertanya tentang bagaimana hala tuju parti dalam situasi begini dan bagaimana UMNO mendepani permasalahan yang ada di hadapan seperti adanya pemilihan parti seumpamanya.

“Begitu juga dengan bagaimana perubahan pucuk pimpinan sayap-sayap jika ada umpamanya. Jika mereka mahu panduan daripada seorang bapa kepada anak-anak, maka saya memberikan nasihat yang sepatutnya kepada mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.