PAU 2022: Sepakat Memperkukuhkan UMNO – Hasmuni Hassan
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan mengharapkan agar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 perwakilan dapat muhasabah diri selepas Pilihan Raya Umum(PRU) lalu.
Hasmuni yang juga Bendahari Pemuda UMNO Negeri Kedah yakin dan percaya UMNO akan membedah siasat punca penolakan orang Melayu terhadap parti ini.
“UMNO mesti melakukan muhasabah PRU15 dan boleh jadi ia satu bentuk ‘post-mortem’ atau apa saja istilahnya, UMNO mesti ‘membedah siasat’ punca penolakan orang-orang Melayu terhadap UMNO pada PRU15 lalu. Hal ini mestilah dilakukan dengan ikhlas, berlapang dada dan berjiwa besar. Sudah tentu ada kenyataan pahit yang perlu ditelan. Itulah penawar bagi memulihkan UMNO.
“Harapan besar PAU kali ini juga ialah untuk melihat usaha-usaha tuntas dan padu membaiki dan memulihkan ‘bahtera besar’ orang-orang Melayu iaitu UMNO. Ini bagi membolehkannya menempuh pelayaran di lautan yang penuh bergelora. Usaha-usaha ini juga mestilah disepakati, dipegang dan dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.
“Bertitik tolak daripada input muhasabah dan usaha-usaha pemulihan, UMNO perlu membina perpaduan dan kesepakatan yang lebih utuh dan ampuh. UMNO wajar menerajui masa hadapan politik arus perdana untuk menjamin relevensi UMNO sebagai sebuah parti besar dan punya karamah,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Jelas beliau, perwakilan-perwakilan UMNO daripada seluruh negara yang akan datang bersidang mestilah sepakat dan jelas membawa satu niat bahawa UMNO mesti dipertahankan, diperkukuhkan dan dimartabatkan sebagai wadah perjuangan untuk bangsa Melayu, negara Malaysia dan agama Islam.
“PAU pada kali ini ialah pentas untuk membersih dan memulihkan UMNO. PAU kali ini ialah wadah untuk melakukan muhasabah dan menetapkan mujahadah membuat perubahan dan transformasi secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh.
“Sungguh pun begitu, UMNO harus mengakui hakikat bahawa kemerosotan sokongan di kalangan orang-orang Melayu telah berlaku. Ini supaya UMNO tidak sentiasa ‘menongkat langit’ dan mendabik dada.
“Saya mengucapkan selamat datang kepada para perwakilan UMNO daripada seluruh negara ke Perhimpunan Agung UMNO 2022 ini. Datanglah dengan ikhlas kerana kita menginsafinya datanglah dengan berlapang dada untuk memuhasabahnya dan datanglah dengan berjiwa besar untuk menjunjung perjuangannya,” katanya lagi.
Seterusnya kata Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu itu, umum mengetahui dalam PRU15 lalu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 30 kerusi Parlimen dan ia merupakan kekalahan dan rekod terburuk UMNO/BN dalam sejarah PRU.
“Umum juga tahu bahawa yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua. Maka tidak ada satu gabungan parti pun yang berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
“UMNO masih memberi sumbangan kepada pentadbiran dan pembangunan negara melalui partisipasi pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta WARISAN, PBM, KDM dan Bebas,” ujarnya. – UMNO Online