PAU 2022 Gambaran ‘Way Forward’ UMNO Pasca PRU ke-15 – Mohd Sharkar

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada kali ini sepatutnya berlangsung sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, maka usul-usul dari bahagian agak kurang relevan kecuali berlakunya pindaan perlembagaan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Jelasnya, isu dan gambar yang akan dibawa oleh negeri-negeri adalah gambaran way forward selepas UMNO/Barisan Nasional (BN) hanya menang 30 daripada 120 kerusi yang dipertandingkan pada PRU ke-15.

“PAU kali ini adalah PAU yang sepatutnya berlangsung sebelum PRU maka isi kandungannya lebih kepada persediaan PRU ke-15. Oleh kerana kita tangguh dan beri laluan kepada PRU, usul-usul dari bahagian yang lebih kepada PRU ke-15 sudah kurang relevan kecuali jika ada pindaan perlembagaan.

“Gambar dan isu yang dibawa oleh negeri-negeri nanti adalah gambaran way forward selepas kita hanya menang 30 daripada 120 kerusi dipertandingkan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Mohd Sharkar, dalam usaha memulihkan semula UMNO, parti tersebut perlu melalui proses perubahan besar jika mahu terus diterima rakyat dan akar umbi mesti bersepakat bagi menzahirkan keputusan yang terbaik.

“Cadangan pemulihan UMNO, gerak kerja perlu diberikan nafas baharu dan menggunakan pendekatan yang lebih dinamik. Untuk terus menjadi relevan di mata rakyat, UMNO perlu melalui proses perubahan yang drastik.

“Kita semua perlu sepakat untuk membuat keputusan yang bijak demi masa depan parti. Oleh itu, setiap keputusan mesti dikaji dengan baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar turut mencadangkan agar pemilihan parti dilakukan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berbaki di enam lagi negeri untuk mengelakkan situasi kelam kabut berlaku.

“Saya mencadangkan agar pemilihan parti dibuat selepas PRN. Kita merayu kepada kerajaan untuk melaksanakan PRN dahulu yang melibatkan enam negeri.

“Ini penting kerana kita tidak mahu berlaku situasi kelam kabut dan perpecahan dalaman,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 hingga 14 Januari 2023.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut dijadualkan berlangsung dalam PAU 2022 adalah Perhimpunan Agung Khas bagi meminda perlemagaan pada hari Jumaat. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.