Abdul Rahman Percaya PAU 2022 Bawa Dimensi Baharu, Percambahan Idea Bina Kekuatan


KUALA LUMPUR, 9 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 ini memberikan dimensi baharu buat parti.

Katanya, ini kerana melalui PAU 2022 pelbagai buah fikiran akan diperolehi dan ianya sangat penting kepada kebangkitan parti terutama selepas melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Kali ini saya berharap supaya kita dapat membawa satu dimensi yang baharu iaitu sekurang-kurangnya memberi pandangan terutama sekali apabila sudah berakhirnya PRU15, kita dapat memberikan buah fikiran bagaimana UMNO hendak bangkit, membina kekuatan kembali.

“Kita semua tahu bahawa parti keramat UMNO ini merupakan parti yang sememangnya mempunyai kekuatan tetapi saya pun tidak dapat memikirkan bagaimanakah PRU lalu kita kurang mendapat kerusi.

“Sudah pasti kita semua dapat memikirkan bagaimana hendak memulihkan kembali UMNO supaya akan datang ini rakyat memberi kepercayaan kepada UMNO/Barisan Nasional (BN). Saya percaya bahawa PAU dapat menghimpunkan segala idea untuk memastikan UMNO mendapat input-input bermanfaat saya percaya rakyat dapat menilainya,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya itu lagi ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis dalam pada itu meluahkan kepercayaannya dengan Kerajaan Perpaduan dalam memulihkan kembali ekonomi negara terutama selepas berhadapan dengan situasi mencabar seperti penularan COVID-19.

Tambah Abdul Rahman lagi, krisis politik seperti pertukaran Perdana Menteri yang berlaku beberapa kali selepas PRU14 tidak boleh berulang lagi kerana ianya menjejaskan pemulihan ekonomi negara.

“Saya yakin dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan ini dapat membentuk satu kerajaan yang kukuh sehingga habis penggal.

“…yang pentingnya kita yang menubuhkan kerajaan terdiri daripada UMNO/BN hendak bersama supaya dapat mendapat kepercayaan sekaligus mengembalikan imej negara khususnya ekonomi, serta agenda kemajuan yang lain

“Semasa COVID-19 dua tahun kita menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka seluruh negara ekonominya tergangggu jadi dengan tertubuhnya kerajaan baharu ini disokong oleh rakyat saya percaya kerajaan ini kukuh sehingga PRU akan datang,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.