Perak Sedia Lebih RM3.33 Juta Kepada Belia Agroproneur Muda

IPOH, 27 Dis – Kerajaan Negeri Perak menyediakan peruntukan lebih RM3.3 juta kepada 237 belia dari tahun 2015 sehingga kini di bawah Program Agroproneur Muda (AGM) bagi projek-projek ternakan di seluruh negeri, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata ia merupakan usaha dan inisiatif untuk dimanfaatkan golongan itu bagi meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan produktiviti usaha ternak.

“Jabatan Pertanian Negeri Perak membuka peluang kepada usahawan atau petani untuk menyertai program berkenaan, mereka boleh mendapatkan bantuan atau insentif sehingga RM 20,000 bagi setiap orang.

“Selain itu, seiring dengan Titah Tuanku untuk memperkasakan belia, Program Briged Muda Petani Moden telah dilancarkan khas untuk golongan belia yang berumur dibawah 40 tahun bertujuan membangunkan warga belia dan menjadikan pertanian sebagai salah satu kerjaya dan punca pendapatan utama mereka,” katanya.

Mohd Zolkafly berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Jason Ng Thien Yeong (DAP-Astaka) yang ingin tahu inisiatif dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk membantu dan menggalakkan golongan belia untuk terlibat dalam bidang pertanian dan perternakan.

Menurutnya selain insentif, jabatan juga menyediakan peluang latihan kepada golongan ini meliputi kemahiran pengurusan ladang dan pendedahan kepada teknologi ternakan sebagai langkah mempertingkatkan keupayaan produktiviti mereka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.