UMNO Terus Perkukuh Barisan Pembangkang, Tahniah Kepada Anwar Kembali Ke Parlimen – Zahid
KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka akan terus memperkukuhkan barisan pembangkang dalam usaha membawa isu-isu yang menjadi rungutan dan kepentingan kepada rakyat serta negara.
Justeru beliau yang juga Presiden UMNO berkata tidak ada sebarang langkah dilakukan susulan kemenangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Port Dickson Sabtu lalu.
“Kita tidak membuat sebarang langkah tetapi kita terus memperkukuhkan barisan kita di dalam gagasan pembangkang untuk membawa isu-isu rakyat, dan kita amat yakin bahawa isu-isu ini merupakan perkara-perkara yang menjadi isu, dan menjadi keresahan kepada rakyat keseluruhannya.
“Sebagai Ketua Pembangkang dan Presiden UMNO saya ingin mengucapkan tahniah walau agak terlewat sedikit. Ucapan tahniah ini adalah satu pendirian kami bagi sesiapa sahaja yang memenangi kerusi di dalam mana-mana PRK. Kita ucapkan tahniah. Semoga beliau dapat menyumbang kepada usaha menterjemah makna sepenuh demokrasi di negara ini,” katanya di lobi parlimen, di sini, hari ini.
Sabtu lalu, Anwar menang PRK Port Dickson dan semalam beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson.
Dalam perkembangan lain berhubung wang rampasan RM116.7 juta di Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan di sini, Jun lalu, Ahmad Zahid menegaskan pihaknya menghormati pandangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita menghormati pandangan pihak PDRM, namun kita telah mengemukakan tindakan perundangan untuk melakukan tuntutan terhadap wang yang dirampas itu dan kita akan mengikuti proses perundangan yang berikutnya termasuk membawa kes ini ke mahkamah dan biar mahkamah yang memutuskannya,“ katanya.
Semalam, Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md. Ali berkata, kerajaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman oleh UMNO berhubung tuntutan wang RM116.7 juta yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipulangkan. – MediaUMNO