Kesan Buruk Jangka Panjang Perkenal CGT – Najib

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Cukai keuntungan modal atau Capital Gain Tax (CGT) yang dikenakan ke atas jual beli saham merupakan langkah yang sangat menarik dan populis tetapi impak negatif jangka panjang adalah jauh lebih teruk.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika diperkenalkan, para pelabur akan memilih bursa saham lain seperti Singapura dan Hong Kong yang mempunyai pasaran jauh lebih aktif serta besar tetapi tidak melaksanakan CGT.

“Di zaman globalisasi ini, sangat mudah bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk memilih disenaraikan di bursa saham negara lain manakala yang belum disenaraikan tidak akan memilih Bursa Malaysia.

“Jual beli saham tidak seperti jual beli hartanah fizikal yang tidak boleh dipindahkan ke luar negara. Oleh itu, ketika saya sebagai Perdana Menteri, kerajaan menaikkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dan tidak untuk jual beli saham,” katanya dalam status di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Tambah Najib, para pelabur saham yang terbesar di negara ini merupakan institusi-institusi milik kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Permodalan Nasional Berhad (PNB) selain syarikat-syarikat amanah saham swasta.

Jelasnya, apabila permintaan membeli saham di Malaysia jatuh, rakyat yang ada simpanan di dalam institusi-institusi tersebut akan mengalami kerugian ditambah dengan aktiviti ekonomi yang dijangka menjunam dan peluang pekerjaan baharu yang kurang. – UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit