Sokongan Pengundi India, Cina Kepada BN Meningkat – Zahid

BAGAN DATUK, 12 Nov – Gelombang baharu sokongan pengundi Cina dan India terhadap Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan peningkatan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia seolah-olah isyarat yang memperlihatkan pengundi Cina dan India telah serik dan sengsara setelah memilih Pakatan Harapan pada PRU14.

“Penderitaan (rakyat) yang dialami pada PRU14 itu sesuatu yang harus dilupakan dengan mereka mahu menyokong semula BN bagi membentuk kerajaan.

“Jadi, ini merupakan satu perkembangan yang baik dengan sokongan pengundi setakat ini telah menghampiri kira-kira 45 peratus ke atas BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Balik Bagan Datuk ‘Jom Balik Mengundi’ di Jeti Waterfront Bagan Datuk di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut meminta semua calon agar berusaha menggandakan usaha bagi menarik seramai mungkin pengundi untuk menyokong BN.

“Saya meminta calon-calon menggandakan usaha dalam tempoh tidak sampai seminggu ini bagi kita menjawab ‘kerinduan’ pengundi-pengundi di seluruh negara,” katanya.

Ahmad Zahid yang merupakan penyandang Parlimen Bagan Datuk sejak enam penggal lepas berkata jentera parti di setiap peringkat harus memberi fokus kepada beberapa kawasan kelabu dan hitam supaya dapat memperoleh majoriti yang kukuh.

Menurut Ahmad Zahid sokongan pengundi muda terhadap BN juga menunjukkan peratusan yang tinggi dan berharap trend itu dikekalkan dan diterjemahkan dalam bentuk undi pada 19 Nov nanti.

Ditanya mengenai kajian Merdeka Centre yang mendakwa melalui media sosial mendapati kecenderungan pengundi Melayu pada PRU15 lebih kepada Perikatan Nasional berbanding BN, Ahmad Zahid berkata BN tidak bergantung kepada hanya institut penyelidikan tertentu sahaja untuk mendapatkan data dan maklum balas.

“Saya telah melakukan pemerhatian terhadap keputusan beberapa penyelidikan dan bukannya hanya satu institut, tapi banyak institut, dan perbandingan yang kami buat daripada data diperoleh ialah gelombang sekarang (sokongan) kepada calon BN tanpa mengira kaum.

“Saya tidak menuduh sesiapa tetapi pandangan saya sesuatu penyelidikan itu mesti bebas sepenuhnya,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 19 Nov ini dengan hari pengundian awal pada 15 Nov.- BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.