BN Pagoh Yakin Mampu Rampas Kerusi Dari Muhyiddin

PAGOH, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) parlimen Pagoh, Datuk Seri Razali Ibrahim yakin kemenangan akan berpihak kepadanya meskipun menentang Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

Katanya, keyakinan itu adalah bersandarkan kerjasama erat, khususnya melibatkan parti-parti komponen di bahagian tersebut, sekali gus memperlihat peranan penting yang dimainkan dalam membantu kemenangannya.

“Semua orang cakap dengan saya Pagoh adalah satu tempat yang sukar. Ya, saya tidak menafikan perkara itu, tetapi dalam pilihan raya, apa pun boleh berlaku.

“Saya juga telah mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan seperjuangan di Pagoh dan kami bersedia untuk memenangkan semula Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu,” katanya.

Razali yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengucapkan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed kerana memberi laluan dan komitmen dalam menawan kembali kerusi Parlimen Pagoh pada PRU15.

“Kita tiada masalah dengan jasa dan sumbangan diberikan kepimpinan terdahulu di sini, namun dalam PRU15 ini, BN komited untuk memenangi kembali Pagoh, sekali gus menyambung semula pelbagai usaha pembangunan yang terhenti sebelum ini,” jelasnya.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan bahawa PRU15 mungkin yang terakhir beliau akan bertanding, sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.