‘Hebatkan Jasin’ Impian Roslan, Ajak Pengundi Bersama Jayakan
JASIN, 10 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad mengajak pengundi di kawasan berkenaan untuk sama-sama menjayakan hasratnya ‘Hebatkan Jasin’ dengan memilih BN pada hari pembuangan undi 19 Nov ini.
Jelas beliau dengan kejayaan ‘Hebatkan Jasin’ akan membolehkan masyarakat setempat mendapat limpahan manfaat dan faedah kelak.
“‘Tagline’ kali ini kita ‘Hebatkan Jasin’ … insya-Allah kita bersama-sama sedaya upaya untuk cari peluang-peluang baharu antaranya peningkatan jalur lebar, membuka tapak atau ruang industri baharu di Jasin ini dan perumahan mampu milik.
“Ini adalah antara perkara asas yang kita cuba selesaikan walaupun bukanlah dalam masa terdekat tetapi ambil masa sedikitlah. Ini termasuklah kita nak tambah baik dari segi kepelbagaian perkara lain yang ada kaitan dengan masyarakat setempat yang ada di sini,” katanya kepada UMNO Online.
Kata beliau lagi yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, kepercayaan pengundi kepada BN untuk Parlimen Jasin amat penting.
“Sebagai sebuah kerajaan negeri yang ditunjangi BN ini adalah kekuatan serta kelebihan. Kita hanya perlukan kemenangan di Parlimen dan seterusnya Putrajaya untuk membolehkan pembangunan di Jasin dan Melaka dapat diselaraskan dengan sebaiknya. Segala yang kita rancang insya-Allah mampu direalisasikan,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau melihat parti lawan seringkali mengitar semula isu-isu lama dan bukannya memberikan tawaran terbaik untuk rakyat.
“Saya percaya pihak lawan tidak kisahlah PH (Pakatan Harapan) atau PN (Perikatan Nasional) mereka tidak ada isu besar untuk dimanipulasi selain isu-isu lapuk. Saya rasa isu pembangunan, kebajikan, soal pendidikan mereka tidak buat pun sepanjang 22 bulan selepas PRU yang lalu…. selepas itu 17 bukan juga tidak ada apa-apa… kerana apa. Disebabkan mereka tidak ada keupayaan, pengalaman mengurus negeri dan negara.
“Yang ada hanya BN dan terbukti malah tidak ada sesiapa yang boleh menafikan soal ini. Ini ‘track record’ yang tidak boleh dipadam,” tambahnya.- UMNO Online
Oleh: Azman Abas