PRU15: BN Ikrar Bina Kolej Kemahiran Tinggi Di Larut

LARUT, 7 Nov – Barisan Nasional (BN) berikrar akan membangunkan sebuah pusat pengajian tinggi kemahiran di Parlimen Larut sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata cadangan pembinaan Kolej Kemahiran Tinggi Mara itu sudah dirancang lama, namun tertangguh ketika peralihan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

“Ada beberapa pembangunan yang tertangguh sejak berzaman iaitu cadangan pembinaan kolej kemahiran Mara, tapaknya telah pun ada tetapi pembangunannya tertangguh-tangguh.

“Jadi kerana ini kita dah maklumkan kepada calon kita jika dipilih sebagai Ahli Parlimen, antara perkara pertama yang dia kena usahakan sehingga berjaya, untuk membawa kembali projek itu ke sini. Kerana peruntukan itu telah pun ada, tanah telah pun ada,” katanya.

Dengan kehadiran IPT di kawasan berkenaan, katanya, ia akan merancakkan lagi ekonomi penduduk tempatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Kita nak apa yang ada di Taiping akan ada juga di Larut kerana selama ini orang di sini kalau nak membeli-belah kena pergi ke Taiping, jadi kenapa tidak Taiping tu dah besar dan kita kembangkan pula daerah ini,” katanya.

BN mempertaruhkan ketua penerangan Pemuda UMNO Larut, Shafiq Fhadly Mahmud untuk menggempur calon Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin di Parlimen itu.

Hamzah, yang menang kerusi Larut sejak 2008 atas tiket BN, melompat ke PPBM pada 2019.

Dalam pada itu, Saarani yang juga calon DUN Kota Tampan berkata daerah Selama akan diangkat sebagai daerah penuh, iaitu daerah ke-13 di Perak sekiranya BN membentuk kerajaan negeri.

“Kita ada 12 daerah sekarang ini dan kita cuba sedaya upaya, kalau nasib kita baik diberi peluang menjadi kerajaan antara perkara itu akan kita cuba balik supaya daerah Selama ini jadi daerah besar, dan daerah penuh.

“Bila daerah penuh baru kita dapat pegawai daerah, jurutera, dan banyak lagi perjawatan awam diwujudkan… daerah ini akan terus membangun,” katanya.

Daerah Muallim dan Bagan Datuk diwartakan sebagai daerah penuh ke-11 dan ke-12 Perak pada 2015 dan 2016 ketika pentadbiran Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.