Tengku Adnan Yakin Anak Muda Sokong BN, Banyak Program Dihentikan Apabila Kerajaan Bertukar

PUTRAJAYA, 6 Nov – Calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor yakin sokongan rakyat termasuk pengundi muda akan berpihak kepada BN lantaran hubungan beliau termasuklah golongan muda telah terjalin sejak sekian lama dan rekod pentadbiran di sini.

Beliau yang merupakan penyandang bagi kerusi terbabit mengakui bahawa warga Putrajaya sudah ibarat keluarganya sendiri termasuklah anak-anak muda yang telah dikenali sejak dari kecil.

“Saya sayang anak-anak muda Putrajaya ini dan saya kenal mereka daripada kecil sampai besar, saya kenal mereka, dah macam keluarga saya sendiri dan mereka sendiri tahu saya ‘friendly with them’.

“Keakraban itu sudah terjalin sejak sekian lama. Mereka sendiri tahu saya dah usahakan agar pendidikan diberikan secukupnya. Contohnya, semasa saya menjadi Menteri Wilayah, saya mulakan program ‘V for Putrajaya’ yang melibatkan anak muda seawal di tingkatan tiga untuk masuk pertubuhan sukarelawan,” katanya yang turun bersantai bersarapan di Kompleks Kejiranan Presint 16, pagi tadi.

Katanya, para peserta program tersebut turut dihantar untuk menjalani beberapa kursus sebelum ianya dihentikan apabila kerajaan bertukar dan ‘diciplak’.

“Mereka sukarela untuk membantu negara. Selain itu juga saya hantar mereka ke kursus-kursus seperti Biro Tata Negara, Cinta Kepada Negara. Itu yang saya lakukan, tapi bila saya kalah, ‘stop’ dan ‘template’ serupa telah diguna pakai untuk Kuala Lumpur dan Labuan.

“…and this concept salah satu kebaikannya, katakanlah Perbadanan Putrajaya nak cat bangunan ke, baiki jalan ke, tak perlu ambil tender dah. Di Putrajaya, kita dah ada sukarelawan yang menjalankan semua ini,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut yakin bahawa anak muda akan memberikan undi kepadanya berdasarkan track record yang berkhidmat selama hampir 20 tahun.

“Saya yakin anak muda akan berikan undi kepada saya, melihat kepada apa yang telah kita lakukan,” katanya lagi.

Beliau turut ditanya berkaitan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini khususnya enam penjuru yang pertama kali dilalui.

“Semua berhak bertanding. Kalau dia (pihak lawan) cakap dia tak gerun, kita bertandinglah secara sihat. Saya tiada masalah.

“Saya dah bertanding sebanyak empat kali dan berhadapan dengan nama-nama besar sebelum ini. Mula-mula Timbalan Presiden PKR, selepas itu Naib Presiden Pas, Pengerusi Pas Wilayah. Akhir sekali dengan profesor. Jadi, saya tiada masalah,” katanya ketika ditemui para pemberita di sini, hari ini.

Pada PRU ke-14 lalu, BN tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13. Lantaran itu, tekad gelombang biru kali ini adalah bagi mengembalikan mandat kepimpinan kepada BN dengan tema ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRU ke-15 (PRU-15).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon (5 Nov) manakala pengundian awal pada 15 Nov ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.