Serangan Tidak Bermaruah Pihak Tertentu, Manipulasi Ucapan Cetuskan Fitnah – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan kekesalan ekoran serangan tidak bemaruah pihak tertentu yang memanipulasi temubual beliau dengan memotong sebahagian daripada ucapan untuk mencetuskan fitnah.
Katanya, menerusi temubual bersama Astro Awani pada 27 Oktober 2022 bertajuk PRU15: Tiga Penjuru BN-PN-PH, Anak Muda Pilih Mana? itu dengan jelas beliau menyatakan bahawa kehidupan di dunia ini tidak sempurna.
“Allah memang menjadikan dunia ini sebagai pentas ujian yang wujud di sana dosa dan pahala sebab itulah kita harus sentiasa berusaha untuk menuju ke arah kesempurnaan dengan memperbanyakkan kebaikan dan mengurangkan dosa dan kerosakan termasuklah gejala rasuah yang menjahanamkan sesebuah negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Bagi menjelaskan secara terperinci beliau turut berkongsi petikan penuh kenyataan video yang dimanipulasikan seperti di bawah:
“Pertama sekali, sebagaimana yang saya perkatakan, UMNO bukanlah sebuah parti yang sempurna, kita juga berada dalam dunia yang tidak sempurna, kalau kita mengharapkan sesuatu yang ideal, negara kita tidak ada langsung rasuah, semuanya bersih, itu kiamat tandanya.
”Tetapi realitinya, apa yang harus kita lakukan, pastikan, tidak adanya ketirisan ini, rasuah ini dapat dimininumkan ke tahap yang paling minima, bagaimana sistemnya, urustadbirnya, ketelusannya, strukturalnya dan sistem nilai yang harus ditanam dari awal, macam mana saya katakan tadi, UMNO tidak boleh dinafikan jasanya. TetapiUMNO inikan parti yang begitu berakar umbi, begitu besar, di dalamnya macam-macam. Takkanlah sepuluh kebaikan tiba-tiba ada satu kesalahan, kita hanya menonjolkan satu kesalahan. Walhal sembilan kebaikan itu bermanfaat dan mempunyai maslahah lebih besar. Sebab itu dalam Islam pun, bila kita bincangkan soal masalah, manfaat dan juga mudarat. Kita sentiasa kena ada perimbangan, tidak adanya semua berada dalam keadaan sempurna dan realitinya semuanya Nampak cantik. Jadi Macam mana kita nak pastikan maslahah itu lebih besar dari kemudaratan yang kita harus kurangkan… ” (minit 08:55 hingga minit 10:05) (Pautan: https://www.facebook.com/watch/?v=5324112961048616)
Jelas Dr Asyraf, malang sekali video propaganda tidak bermaruah itu hanya memaparkan perenggan satu di atas manakala perenggan dua bahagian penyambungnya, dipotong supaya fitnah-fitnah boleh diluncurkan untuk membuat pembunuhan karakter ke atas beliau dan UMNO.
Katanya lagi, tugas beliau adalah untuk menyampai serta memperbetulkan persepsi-persepsi serangan liar yang dibuat oleh pihak-pihak seperti ini.
“Saudara-saudari boleh tonton untuk semak semula walaupun terkilan, saya maafkan perbuatan pihak-pihak ini serta mendoakan supaya mereka diberikan Allah hidayah dan pengampunan.
“Saya juga doakan supaya propaganda-propaganda bejat seperti ini, tidak menjadi bahan-bahan kempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 namun jika ia berterusan, ia menunjukkan reality sikap dan sifat jati diri lawan.
“Ayuh kita maju dengan politk matang, bertanggungjawab demi menuju kestabilan dan kemakmuran bersama, kesempurnaan itu milik Allah sepenuhnya,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib