PRU15: Anak Muda Perlu Buat Pilihan Bijak, Jangan Terpedaya Janji Palsu Populis – Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap golongan muda membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, ini kerana PRU14 perlu menjadi pengajaran kepada mereka untuk tidak terpedaya dengan janji palsu daripada parti lawan yang ternyata gagal ditunai.

“Buatlah pilihan yang tepat pada PRU15 yang amat penting dalam menentukan hala tuju negara… anak muda Malaysia usah terpesona agar tidak terpedaya dengan kelicikan lawan Barisan Nasional (BN) bermain populis.

“Pelbagai janji manis untuk anak muda pada PRU14 yang hanya propaganda meraih undi perlu dijadikan iktibar, janji mansuh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pendidikan percuma sepenuhnya, mahu bawa kumpulan muzik tertentu ke Malaysia.

“Konon akan wujudkan 1 juta pekerjaan, ‘bawa pulang’ rakyat bekerja di Singapura dan banyak lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, selepas PRU14 juga menyaksikan ketidakstabilan politik yang turut sama memberi kesan kepada hala tuju pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut beliau lagi, anak muda perlu pastikan bahawa pilihan raya ini menjadi penentu kepada masa depan mereka yang lebih gemilang di bawah pentadbiran UMNO/BN.

“Saksikan juga ketidakstabilan dibawa lawan BN kepada negara sepanjang mereka diberi peluang jadi kerajaan, pengundi muda perlu pastikan kestabilan, kemakmuran kembali terbentuk demi masa depan mereka.

“Ingatlah Malaysia amat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, kukuh lagi berkemampuan dari sekarang. Dunia diramal berdepan kemelesetan ekonomi global pada tahun 2023 oleh banyak badan antarabangsa,” ujar beliau.

Katanya ini kerana berbanding gabungan politik lain BN berpengalaman dalam mentadbir negara selain berupaya mendepani cabaran ekonomi yang dijangka berlaku berbaki beberapa bulan selepas PRU15.

“Tanpa kerajaan yang kukuh, stabil dan berkemampuan, golongan muda antara yang paling terjejas. Peluang pekerjaan dan kerjaya untuk mereka semakin terhad. Peluang memiliki kediaman semakin terkesan.

“Peningkatan kos sara hidup yang gagal ditangani oleh Majlis Pemulihan Negara akan bertambah merisaukan. Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang asas kewujudannya sejak 4 September 2021 adalah politik.

“BN menang mutlak kerajaan akan kembali berfungsi sebagai sebuah pasukan tanpa ugutan dan tuntutan politik sekaligus memudahkan usaha membentengi rakyat daripada impak kemelesetan ekonomi global,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.