Rakyat Serik Manifesto ‘Bulan Bintang’, Igauan PRU14 Kerajaan 22 Bulan – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad percaya rakyat tidak akan termakan lagi dengan ‘manifesto bukan kitab suci’ sebaliknya akan melihat secara mendalam dan penuh teliti perkara yang dijanjikan nanti.

Jelas beliau pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu pelbagai perkara dijanjikan termasuklah soal pendidikan percuma, bayaran tol percuma serta lain-lain perkara yang menyebabkan berlakunya perubahan kerajaan pada PRU lalu.

“Akhirnya manifesto bukan ‘kitab suci’… senang nak tipu rakyat. Takkan kali ini nak tipu lagi. Turun RM1.50 sen minyak rakyat syok… dan saya kalau jadi rakyat pun serta tidak terlibat dengan politik apabila mendengar manifesto itu pun saya mahu undi juga.

“Saya dapat PTPTN tidak perlu bayar, hutang Felda lupus, Tol tidak payah, minyak turun murah, pendidikan percuma… eh saya sebagai anak, balik kampung kempen mak ayah dan ibu bapa pun termakan.

“Saya katakan kepada ibu bapa saya… mak abah tolonglah… ini kalilah. Saya balik tidak perlu bayar tol dan boleh balik tiap-tiap minggu. Dulu saya balik sebulan sekali sebab kena bayar tol, minyak RM2.00 lebih nanti RM1.50. Emak pula duduk Felda… habis hutang dengan Felda. Felda tipu dengan bayaran kembali dan sebagainya. Eh… saya pun kalau jadi pengundi yang tidak fikir soal politik ini anggap peluang terbaik, tapi akhirnya mereka tipu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Facebook Live yang disisarkan melalui UMNO Online, malam tadi. Program tersebut dihoskan Datuk Dr Azizan Abdul Majid.

Abdul Rahman seterusnya mengimbau sebelum PRU lalu yang mana soal manifesto ‘bulan bintang’ turut dibangkitkan sambil menyatakan kekhuatiarannya berhubung tawaran tersebut.

“Saya beritahu kepada beberapa ahli parlimen dengan manifesto yang dijanjikan bulan dan bintang ini ‘mati’ kita… ditambah dengan beberapa isu yang tidak boleh dijawab dan sebagainya. Tetapi senario kali ini terbukti 22 bulan pemerintahan mereka yang saya katakan tujuh ‘ track record’ kita menang pilihan raya kecil… ini bukan kecil tau tetapi besar. Rasa saya saya undi itu ikhlas berikan kepada kita sebab masa itu kita masih pembangkang.

“Pada waktu itu tidak kedengaran juga pengundi hantu atau ‘bangla’… yang dicanang dengan hebat pada PRU-13 yang lalu. PRU-14 mereka dah menang tidak cerita dah pasal ‘bangla’. Jadi daripada senario itu kita lihat PRN Melaka kita menang, Johor kita menang… begitu juga di Sarawak maka rakyat tidak percaya mereka lagi sehingga kita ambil alih Johor… begitu juga di Melaka. Jadi daripada itu rakyat perlu fikir dah selepas berikan peluang 22 bulan.

“Dan hari ni kepercayaan rakyat mesti diberikan kembali peluang kepada BN untuk menerajui negara dalam usaha menyelesaikan masalah… nak menaikkan ekonomi umpamanya… supaya pendidikan bertambah baik… supaya luar bandar sejahtera. Jadi dengan cara inilah maka kepercayaan harus diberikan kepercayaan oleh rakyat  kepada BN. Dah beri Johor, dah beri Melaka, apa salahnya kali ini berikan kembali untuk memastikan BN dapat menerajui negara dengan baik,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.