Masihkah Kau Ingat? Cukuplah Sekali…
KUALA LUMPUR, 10 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta rakyat untuk mengimbas kembali kerosakan yang dibawa Pakatan Harapan (PH) meskipun hanya mentadbir negara selama 22 bulan.
Katanya ini termasuk tindak tanduk bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang jelas mencalarkan kesucian institusi yang diketuai selain menimbulkan fitnah.
“Masihkah kau ingat? Di kemuncak keangkuhan zaman kerajaan PH…Peguam Negara, Tommy Thomas menari twist bersama Ketua Hakim Negara Richard Malanjun dan peguam-peguam pro-PH yang lain seperti Ambiga dan Siti Kassim.
“Tommy Thomas juga secara bongkak menulis dalam bukunya bagaimana beliau dan Perdana Menteri ke-7 mencatur perlantikan hakim-hakim termasuk Ketua Hakim Negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jelas Dr Asyraf, laporan Pasukan Khas yang menyiasat isi kandungan buku Tommy Thomas juga mendapati dan mengesyorkan bahawa bekas Peguam Negara itu boleh didakwa menyalahi sekurang-kurangnya empat kesalahan jenayah.
“Ini termasuk melakukan ‘Forum Shopping’ yang menyanggahi Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) kerana pemilihan hakim perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bukan dicatur Peguam Negara bersama PM ke-7.
Natijahnya, berlaku:
i-Sistem Keadilan dicabuli
ii-Rakan taulan termasuk kes-kes melibatkan pimpinan utama PH ditarik atau dilepaskan
iii-Pendakwaan Terpilih terhadap musuh politik
iv-Proses keadilan mula dipertikai dan diragukan – UMNO Online