Jangan Ada Kekeliruan, Pilih BN… Tolak PH,PN Hancurkan Negara – Tengku Adnan
PUTRAJAYA, 6 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan rakyat khususnya para pengundi agar jangan ada kekeliruan sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan dalam masa terdekat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menekankan bahawa pilihan terbaik ialah Barisan Nasional (BN) untuk menjadi kerajaan.
“Sekarang ini ada macam-macam parti tapi yang paling penting sekali adalah BN. Kita tolak Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau apa-apa parti lain selain BN kerana dah terbukti mereka merosakkan negara.
“Kalau ada PRU saya rayu semua pengundi untuk pilih BN dan di Putrajaya ini kita kekalkan BN. Lihatlah selama lebih 60 tahun BN mentadbir negara ini, ada macam-macam yang disediakan untuk bantu rakyat.
“Kita lihat selepas PRU14 lalu apa jadi apabila PH mentadbir selama 22, mereka rosakkan apa yang telah BN bina… semuanya hancur, kemudian diganti PN pun sama… hancur,” katanya.
Tegasnya, negara perlukan sebuah kerajaan yang kuat, kukuh dan stabil maka tolaklah parti lain dan kembalikan kepercayaan kepada BN.
“Kerajaan sebelum ini naik dengan tohmahan dan fitnah sampaikan rakyat keliru. Nasib baik mereka hanya mentadbir 22 bulan, kalau tidak tak tahulah apa lagi yang jadi,” katanya.
Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra dan sambutan hari lahir warga tempatan di PR18, di sini malam tadi.
Dalam kesempatan ini beliau turut berpesan kepada ibu bapa untuk sentiasa mengingatkan anak muda khususnya pengundi baharu agar terlibat dalam menentukan pemimpin dan pembinaan negara.
“Fikirlah matang. Kali ini ada anak muda yang akan mengundi. Ibu bapa ceritalah pada anak-anak siapa yang patut mereka undi. Cerita apa yang kita ada, apa yang BN lakukan.
“Selama ini macam-macam dilakukan oleh BN untuk anak bangsa kita agar terbela dan terjaga tapi telah dirobek oleh PH.
“Oleh kerana apa yg BN lakukan maka anak-anak kita dapat pendidikan, pekerjaan serta kehidupan dalam pembangunan namun PH hancurkan hinggakan kita jadi mundur.”
Ujarnya lagi, jika tersalah pilih sekali lagi maka dibimbangi setiap kerosakan tidak akan dapat diperbaiki lagi. – UMNO Online