PAU 2018: UMNO Bangkit – Ucapan Dasar Presiden UMNO
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyampaikan Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka malam ini. Berikut teks ucapan penuh:
TERIMA KASIH KEPADA SAUDARA/SAUDARI PENGACARA MAJLIS.
ASSALAMMUALAIKUM WBT.
SALUTASI
SEGALA PUJI TERHADAP ALLAH SWT PEMILIK SEMESTA ALAM. SALAM DAN SELAWAT TERHADAP JUNJUNGAN BAGINDA RASULULLAH SAW.
YBHG TAN SRI BADRUDDIN BIN AMIRULDIN
PENGERUSI TETAP
YBHG DATO’ SERI RIZUAN BIN HAJI ABD HAMID
TIMBALAN PENGERUSI TETAP
YB DATO’ SERI UTAMA MOHAMAD BIN HAJI HASAN
TIMBALAN PRESIDEN
YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
YB DATO’ SERI DIRAJA HAJI MAHDZIR BIN KHALID
YBHG DATO’ SERI HAJI MOHAMED KHALED BIN NORDIN
NAIB-NAIB PRESIDEN
YB DATO’ DR NORAINI BINTI AHMAD
KETUA PERGERAKAN WANITA DAN SAF KEPIMPINANNYA
YBHG DATO’ DR. ASYRAF WAJDI BIN DATO’ DUSUKI
KETUA PERGERAKAN PEMUDA DAN SAF KEPIMPINANNYA
YBHG DATO’ ZAHIDA BINTI ZARIK KHAN
KETUA PERGERAKAN PUTERI DAN SAF KEPIMPINANNYA
YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA HJ. ANNUAR BIN MUSA
SETIAUSAHA AGUNG
YB DATUK SERI UTAMA TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
BENDAHARI AGUNG
YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR BIN NASARAH
KETUA PENERANGAN
RAKAN-RAKAN AHLI MAJLIS KERJA TERTINGGI, SIDANG PERWAKILAN, TETAMU-TETAMU KEHORMAT, PARA PEMERHATI, PENGAMAL MEDIA, PEJUANG-PEJUANG UMNO SERTA PENDUKUNG-PENDUKUNG UMNO DI SELURUH NEGARA.
MUKADIMAH
1. Alhamdulillah. Ketika melangkah masuk ke dalam dewan sebentar tadi, saya dapat melihat dan kagum, para pejuang UMNO masih setia berdiri gagah dan megah. Wajah keceriaan, penuh semangat. Suatu paparan kesediaan dan iltizam, untuk kita terus menjadi mata rantai suatu perjuangan yang panjang. Semoga Allah SWT merahmati, memberkati dan melindungi perhimpunan kita pada malam ini.
2. Sesungguhnya Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 173:
“Hasbunallahu wanikmal wakil.”
‘Cukuplah Allah sebagai pelindung bagi kita.’
3. Saya merakamkan ucapan tahniah kepada saudara-saudari sekalian kerana walaupun kita tidak lagi berkuasa dan menempuh pelbagai kepayahan, sesungguhnya lebih 20,000 cawangan telah berjaya mengadakan mesyuarat.
4. Ucapan penghargaan dan tahniah saya ucapkan kepada semua 191 UMNO Bahagian yang telah berjaya mengadakan persidangan masing-masing. Ingin saya memaklumkan, kita mempunyai 40% Ketua Bahagian baharu, 43% Ketua Wanita baharu, 84% Ketua Pemuda baharu dan 76% Ketua Puteri baharu. Ini termasuklah 4 tokoh wanita yang telah terpilih sebagai Ketua Bahagian.
5. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga juga saya lafazkan atas kehadiran semua ke Perhimpunan Agung UMNO 2018. Penghargaan juga diucapkan kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah selesai mengadakan persidangan masing-masing pada siang tadi. Perhimpunan yang penuh bersejarah ini, dilaksanakan dalam suatu suasana yang amat berbeza sekali daripada tahun-tahun sebelum ini. Saya berkeyakinan tinggi bahawa semangat UMNO BANGKIT, semakin membara dan menjulang tinggi dalam diri kita semua.
6. Kita turut mengalu-alukan kehadiran mantan Presiden, YB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dan pemimpin-pemimpin veteran UMNO sekalian. Mereka inilah insan yang berjiwa besar. Tetap setia bersama UMNO!
7. Marilah juga kita sedekahkan Al-Fatihah kepada ahli dan pemimpin UMNO yang telah pergi meninggalkan kita. Bagi yang masih hidup, kita berdoa agar mereka dan keluarga diberkati, dirahmati dan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT. Al-Fatihah.
FIKRAH PRESIDEN DAN REALITI SEMASA
Saudara dan Saudari sekalian,
8. Saya penuh sedar dan insaf kerana dalam sejarah UMNO, sayalah Presiden yang pertama menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam kedudukan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Sejak PRU pertama hingga ke-14, inilah kali pertama kita bukan lagi menjadi sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan dan hanya menguasai dua buah negeri sahaja iaitu Perlis dan Pahang. Bagaimanapun, kita juga hampir menubuhkan kerajaan di Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Sabah. Tahniah kepada Perlis dan Pahang!
9. Jika ada wakil rakyat UMNO yang sukar hendak menyesuaikan diri sebagai pembangkang, terutama kepada mereka yang kali pertama menjadi wakil rakyat dan memulakan kerjaya politik sebagai pembangkang, bersabarlah. Inilah takdirNya. Kita insaf dan redha dengan ketentuan Allah SWT. “La tahzan, innallaha ma’ana”, “Janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”
10. Justeru, UMNO memohon maaf kepada mereka yang telah meletakkan harapan dan keyakinan yang begitu tinggi kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus memimpin dan mentadbir negara pada PRU-14 yang lalu. UMNO mengambil pengajaran dan beriltizam untuk mengembalikan semula keyakinan dan menjadikan harapan ini suatu kenyataan. Insya-Allah.
11. Sejak sekian lama, UMNO diibaratkan seperti pokok rendang. Mempunyai akar tunjang kuat, dahan kukuh dan mengeluarkan buah-buahan yang lazat. Ia juga menjadi tempat rakyat berteduh sejak 72 tahun yang lalu.
12. Namun, ada pihak yang cemburu dan iri hati. Mereka sentiasa berusaha menumbangkannya. Mereka lakukan sedikit demi sedikit. Walaupun tidak rebah, pokok ini telah condong pada tanggal 9 Mei yang lalu. Tatkala itulah, kura-kura mula merangkak menaiki pokok condong yang amat berjasa ini.
13. Berikutan ‘perang saraf dan gerak saraf’ pihak lawan yang berterusan, penilaian negatif rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional menghancurkan segala-galanya pada PRU-14 lalu. Serangan terhadap ‘the centre of gravity’’ berjaya mempengaruhi rakyat. Lawan kita melakukannya menerusi pembohongan dan penipuan secara berterusan, melalui penyebaran fitnah dan penyaluran maklumat separuh benar. Inilah kepakaran mereka. Tidak aneh, inilah yang mereka lakukan sehingga kini, walaupun mereka telah membentuk kerajaan.
14. Pihak lawan secara halus dan berperingkat, melancarkan serangan bertali arus. Storyboard dan storyline, disusun rapi untuk membesar-besarkan semua kesalahan dan kelemahan Barisan Nasional serta pemimpin-pemimpinnya. Benarlah mutiara kata ungkapan Saidina Ali Karramallahu Wajhah, “KEBENARAN YANG TIDAK TERANCANG, AKAN KALAH KEPADA KEBATILAN YANG TERANCANG”.
15. Kita bagaikan sebuah bahtera di lautan penuh bergelora. Walaupun layar bahteranya robek, setiap anak kapalnya tidak akan meninggalkan bahtera perjuangan. Jauh sekali terjun meninggalkan bahtera atau mematahkan tiang seri layarnya, serta menebuk dinding bahtera dari dalam. Tindakan ini pasti menyebabkan pelayaran bangsa kita tergugat! Yakinlah, nakhoda dan kelasi yang baik, BUKAN datang dari pelayaran di lautan yang tenang!
16. Selepas keputusan yang mengejutkan pada PRU-14 yang lalu, ada segelintir di antara kita meninggalkan parti. Pelbagai alasan diberikan, namun ahli UMNO tetap bijak menilai hati budi mereka. Mereka ini bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Tidak kurang pula yang mula condong dan mahu beralih arah. Namun, masih ramai lagi yang kekal setia, berdiri teguh dan gagah menjulang obor perjuangan, demi agama, bangsa dan tanah air kita!
17. Silakan berdiri semua Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang berada di dalam dewan ini! Sama ada yang di atas pentas, mahu pun yang duduk di kerusi perwakilan! Mari kita berdiri dan memberi tepukan gemuruh kepada para wira UMNO. MEREKA INILAH BENTENG DAN PEJUANG BARISAN HADAPAN KITA!
18. Yakinlah, awan mendung yang melanda akan segera berarak, menipis dan sirna (lenyap). Jika kita bersatu dan kuat, kita pasti akan bangkit! Jika kita berjaya mendepani landskap politik hari ini, kita akan kembali kukuh. Sudah tentu, kita sentiasa bersedia memimpin kerajaan, sekiranya apa-apa terjadi kepada kerajaan sekarang. WE ARE THE BETTER OPTION, KITALAH PILIHAN TERBAIK untuk kembali menjadi kerajaan dalam masa terdekat, atau selepas PRU-15 nanti. Kini, kita juga membentuk ahli Parlimen kita menjadi PEMBANGKANG YANG KONSTRUKTIF dan DINAMIK. Mereka akan terus membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan latarbelakang.
19. Kita mestilah menanam iltizam untuk memperkukuhkan parti. Jangan dititis cuka pada luka. Jika ahli kuat, parti akan kuat! Ahli yang teguh bersatu akan mengukuhkan parti. Kepada mereka yang asyik menyubur dengki, menyemai khianat, mengadu domba, kita minta berhentilah berbuat demikian. BERSEDIALAH SAUDARA DAN SAUDARI SEKALIAN UNTUK MEMBERIKAN JIWA DAN RAGA KEPADA PERJUANGAN MURNI UMNO INI!
MELAYU BANGSA BESAR DAN UNIVERSAL
Saudara dan Saudari sekalian,
20. Sinergi konsep umat Melayu memberi erti yang cukup tersendiri, bagaimana suatu bangsa itu Allah SWT ciptakan supaya menjadi sebahagian umat dari kelompok yang lebih besar. Sunnatullah (sunnah Allah) menetapkan Melayu hidup bersama Cina, India, Iban, Melanau, Bidayuh, Kadazan, Dusun, Murut, serta pelbagai etnik di negara tercinta ini.
21. Islam telah mendidik orang Melayu menghormati penganut agama lain. Kisah Baba dan Nyonya, India dan Portugis Peranakan di Melaka, yang datang ke Malaysia ratusan tahun yang lalu, mereka amat menyantuni budaya, adat dan cara hidup orang Melayu. Mereka tidak dipaksa memeluk Islam, tetapi melakukan asimilasi sosial secara bijaksana, hinggakan wujud perpaduan dan kerjasama dalam kalangan mereka dan orang Melayu.
22. Naratif perjuangan UMNO sejak tahun 1946 merupakan suatu simbiosis yang berterusan sejak zaman berzaman, malah kesaling-hubungan itu telah berjaya mewujudkan persaudaraan dan keharmonian antara kaum, seperti apa yang kita saksikan pada hari ini. Perjuangan panjang menegakkan agama, bangsa dan tanah air ini tidak pernah menghambat atau menjadi batu penghalang kepada kehidupan yang harmonis. Ini adalah kerana UMNO juga memperjuangkan keadilan sosial bagi semua kaum. Kemajmukan dan kepelbagaian budaya, bahasa dan adat resam, menjadi resipi asas dan teras kepada perpaduan.
23. Janganlah disakiti hati dan perasaan orang Melayu lagi. Hakikatnya, mempersoalkan asal usul orang Melayu, samalah dengan mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu itu sendiri. UMNO tegas dalam perkara ini! Cubaan ‘border testing’, atau tindakan mahu menguji sejauh mana kesabaran orang Melayu ini, sudah pasti akan mengundang reaksi balas dan bakal memakan diri mereka sendiri!
KEMAJMUKAN UMNO
Saudara dan Saudari sekalian,
24. UMNO adalah sebuah parti Rumpun Melayu. Walaupun begitu, di dalamnya terdapat pelbagai kaum dan etnik. Dalam kalangan ahlinya pula, majoritinya beragama Islam, dan ada juga yang beragama Kristian dan Buddha. Parti ini diwarnai pelbagai latar belakang etnik yang menggambarkan kemajmukan UMNO itu sendiri.
25. Atas kemajmukan inilah kita merekacipta sebuah pemerintah yang berteraskan keadilan sejagat sejak mencapai kemerdekaan. Kita yang memartabatkan agenda Melayu Bumiputera sebagai agenda nasional, tanpa mengenepikan kaum lain. Ia diperkukuhkan lagi dengan semangat jujur dan ikhlas bagi membantu semua pihak.
26. Sehubungan itu, jika mahu menang semula, maka kita wajib menjalinkan silaturrahim dan keakraban antara kita, serta sifat membenci perlu diketepikan! Penyatuan mesti datang dari hati yang mukhilisin dan terbuka. Wehdatul fikr (kesatuan pemikiran) mestilah selari dengan wehdatul amal (kesatuan tindakan).
27. UMNO tidak perlu membuka keahliannya kepada kaum-kaum lain untuk kekal relevan. Masyarakat Malaysia sejak dari dahulu sehingga sekarang, tinggal di dalam kelompok dan komuniti masing-masing, dan ia masih kekal begitu. Kebersamaan kita dalam Perikatan dahulu, dan kini dalam Barisan Nasional adalah suatu bukti bahawa kita menghargai peranan parti-parti yang berlandaskan kepada kepelbagaian kaum. Ini dilakukan demi kepentingan negara. Oleh yang demikian sifatnya, saya ingin tegaskan di hadapan saudara dan saudari sekalian, UMNO AKAN TERUS KEKAL MENJADI PARTI ORANG MELAYU DAN BUMIPUTERA!
28. Sesungguhnya, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita, bahawa UMNO bukanlah sebuah parti yang rasis, berat-sebelah dan prejudis, atau menjadi ancaman kepada mana-mana kaum lain. Orang Melayu tidak pernah menzalimi dan meminggirkan mana-mana kaum. Jauh sekali untuk mengambil hak kaum lain secara paksa!
29. Malah, kita telah membuktikan bahawa kita sentiasa bertindak di atas ‘the Malay wisdom’ atau ‘Bijaksana Melayu’, dan meletakkan prinsip ‘al-adlu wal-ihsan’ (adil dan ihsan) sebagai ‘kompas moral’ dalam setiap tindakan.
30. Hakikatnya, hari ini orang Melayulah yang paling terdedah dengan sikap bias dan prejudis bangsa lain kepadanya. Orang Melayu dituduh bodoh dan kononnya pemalas, terlalu bergantung kepada subsidi dan bantuan kerajaan. Lebih menyedihkan lagi, apabila bangsa kita disebut sebagai BANGSA PENGEMIS, dan amat menghairankan mereka yang berada dalam saf kepemimpinan kerajaan hari ini, RELA BANGSANYA DIHINA SEBEGITU!
31. Akibat daripada sikap prejudis dan bias itu, ramai orang Melayu masih sukar mendapat peluang yang saksama, terutamanya dalam menyertai syarikat swasta yang bukan milik Melayu. Usahawan-usahawan Melayu masih menghadapi masalah menembusi rangkaian perniagaan, dan mendapatkan bekalan pada harga yang kompetitif dari sumber yang dikuasai bukan Melayu. ORANG MELAYU MASIH GAGAL MENGUASAI EKONOMI KERANA DIDISKRIMINASIKAN!
UMNOFOBIA, MELAYUFOBIA DAN ISLAMOFOBIA
Saudara dan Saudari sekalian,
32. Rasulullah SAW telah bersabda, ’al Islamu ya’lu wala yu’la alaih’ yang bermaksud, ‘Islam itu adalah agama yang tertinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya’. Islam dan Melayu berpisah tiada. Jumlah penduduk MELAYU adalah sekitar 62% di negara ini.
33. Sebab itulah, Malaysia mesti terus dipimpin oleh kita. Namun, ia tidak bermakna kita mengamalkan assabiyyah mahu pun dasar perkauman. Faktor sejarah, undang-undang tubuh negeri-negeri, dan faktor demografiklah yang meletakkan keistimewaan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.
34. UMNO akan terus menjunjung dan menegakkan Islam yang syumul, dan menolak fahaman pluralisme, yang boleh menggugat kesyumulan Islam itu sendiri. UMNO akan terus memberi kefahaman tasawwur yang jelas dan hakiki, agar menjadi pedoman dan asas kepada segala bentuk tindakan.
35. Hingga ke hari ini, adat resam, budaya, bahasa ibunda dan sistem pendidikan, masih dikekalkan mengikut kaum. Inilah yang telah diamalkan oleh kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional sejak kita merdeka. Inilah yang telah dipersetujui oleh 3 kaum terbesar, ketika kita meraih kemerdekaan.
36. Maka sebab itulah, konsep Malaysian Malaysia yang menuntut kesamarataan, tidak boleh diterima. Jelas, ia bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. UMNO AKAN TERUS MEMPERTAHANKAN PERKARA 153 INI!
PEMBANGUNAN INSTITUSI KELUARGA
Saudara dan Saudari sekalian,
37. Mutakhir ini, fahaman liberalisme terutamanya LGBT amat membimbangkan kita. Kini isu berkenaan bebas dibincangkan secara umum, sehingga soal tandas mengikut gender yang hendak digunakan pun, jadi perbincangan. Perdana Menteri sendiri menolak budaya LGBT! Perdana Menteri juga menolak pernikahan sejenis!
38. Gerakan penyebaran fahaman Syiah dalam kalangan umat Islam di negara ini semakin berleluasa dan terbuka. Keadaan ini memudaratkan pegangan akidah ahli Sunnah Wal-Jamaah. Budaya Hedonisme (hiburan melampau) kian berkembang dalam kalangan masyarakat kita. Kita bimbang sekiranya gejala-gajala ini tidak dibendung, ia boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat, sebagaimana yang dapat kita saksikan di negara-negara lain.
39. Apabila pengaruh kebendaan tidak diseimbangkan dengan nilai budaya dan agama, maka jati diri mudah terhakis. Anak-anak dan generasi muda akan mudah terjebak dengan pengaruh dan gaya hidup hedonisme yang nyata merosakkan.
HALA TUJU UMNO
Saudara dan Saudari sekalian,
40. Ada pihak yang mempersoalkan kenapa saya banyak berdiam dan perlahan dalam menentukan hala tuju UMNO. Maaf! Sebenarnya, saya perlu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pengurusan dalaman parti, terutamanya bagi mengekang usaha-usaha melemahkan UMNO. Diam itu emas, bertindak itu berlian! Begitu juga yang diungkapkan oleh seorang ahli falsafah China bernama Lao-Tzu. SILENCE IS A SOURCE OF GREAT STRENGTH!
41. Kita sudah tahu bahawa harta UMNO mahu disita, akaun UMNO telah dibekukan! Terdapat dalam kalangan kita yang ditekan dengan pelbagai siasatan, terdapat juga yang diheret ke mahkamah. Malah terdapat usaha untuk mengharamkan UMNO!
42. Kita sedang bergelut dalam suasana akaun parti yang dibekukan. Hingga hari ini ia masih belum lagi mendapat pelepasan. Saya menyeru kepada pihak berwenang, janganlah berlaku zalim dan tunduk serta takut kepada arahan Sang Penguasa. Ikutlah peraturan yang sedia ada, jangan menindas dan melakukan gertakan murahan! Rakyat melihat dan menilai setiap tindakan-tindakan itu.
43. Sebenarnya, saya menyebut mengenai hala tuju UMNO dalam pertemuan dengan ahli-ahli dan pemimpin parti di seluruh negara. Hala tuju UMNO sekarang adalah untuk MENANG DAN KEMBALI BERKUASA. INILAH HALA TUJU KITA! Jika kita boleh membentuk kerajaan, segala yang ingin kita lakukan untuk kebaikan negara mampu dilaksanakan. Insya-Allah.
44. Semestinyalah hala tuju ini perlu disokong oleh semua orang UMNO berpandukan kepada 7 teras yang perlu kita laksanakan bersama. Di sini, SAYA INGIN MENGGARISKAN 7 TERAS TERSEBUT YANG MERANGKUMI 21 LANGKAH UNTUK MEMBOLEHKAN KITA MENCAPAI KEJAYAAN.
45. Tujuh teras ini adalah hasil daripada rumusan sewaktu kita mengadakan pemukiman baru-baru ini, membabitkan perkara-perkara seperti Perlembagaan, Keahlian, Struktur Parti, Perkaderan dan Latihan, Penerangan dan IT, Tawaran Baharu serta Program Tumpuan dan Institusi Dalaman UMNO.
46. Rumusan pemukiman ini membuktikan bahawa proses membuat keputusan adalah dengan mengambil kira pendapat daripada bawah. Inilah antara proses syura yang sering saya utarakan. Keputusan dibuat secara bersama, dan sikap bertanggungjawab juga seharusnya secara bersama! Jangan biarkan saya keseorangan!
TERAS PERTAMA: MEMBINA KEYAKINAN DAN KEPERCAYAAN
Saudara dan Saudari sekalian,
47. Tugas penting kita sekarang adalah untuk membina keyakinan ahli dan masyarakat. Saya akui, ini bukanlah tugas mudah, ia memerlukan usaha-usaha yang berterusan.
LANGKAH 1
48. Saya mengharapkan agar semua memahami sejelas-jelasnya idealisme perjuangan UMNO. UMNO bukan hanya ditubuhkan bagi memenangi pilihan raya. Tetapi ia adalah sebuah manifestasi perjuangan berpaksikan kepada agama, bangsa dan tanah air. Perkara ini termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Maka, UMNO mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik Melayu yang ideologinya berbentuk konservatif tetapi progresif.
49. Biarpun begitu, kita telah mempunyai ahli-ahli UMNO terdiri dari Kadazan, Dusun, Murut, Siam dan orang Islam serta mualaf dari pelbagai bangsa. Malah Parti KIMMA yang terdiri dari kalangan rakan-rakan India-Muslim turut menjadi ahli bersekutu UMNO sejak Ogos 2010 lagi. Kita juga meraikan ahli-ahli UMNO yang terdiri dari yang beragama Kristian, Buddha dan pelbagai agama lain. Ini harus dihormati.
LANGKAH 2
50. Sekiranya prinsip ketaatan dan kesetiaan kepada parti serta pemimpin untuk bekerja sebagai satu pasukan tidak mampu diterapkan, kita akan hancur! Justeru, saya meminta kepada semua ahli untuk setia kepada parti dan kepemimpinan. Sesungguhnya, inilah antara formula penting membentuk parti yang mantap. Ketaatan ini dituntut selagi mana ia tidak mudarat dan melanggar hukum syarak.
LANGKAH 3
51. Sesungguhnya taat dan setia kepada kepemimpinan, dan bukannya kepada parti seringkali membentuk budaya ‘warlord’’. Inilah punca utama masalah politik wang. Sebagai Presiden, saya komited menjadikan UMNO sebagai sebuah Parti Sifar Rasuah! POLITIK WANG BOLEH MENGHANCURKAN PARTI. POLITIK WANG JUGA AKAN MENYEBABKAN AHLI SALAH MEMILIH PEMIMPIN. POLITIK WANG JUGA MERACUNI KITA MENJADI INDIVIDU YANG GEMARKAN RASUAH DAN HABUAN (GHANIMAH).
52. Sehubungan itu, kita akan menstruktur semula Lembaga Displin parti untuk diberi lebih kuasa dan sebagai sebuah badan bebas. Peranan lembaga ini akan diangkat menjadi lebih berwibawa dan mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil tindakan. Lembaga ini akan dianggotai oleh ahli-ahli perundangan dan pakar-pakar penyiasatan profesional agar tindakan segera dan berkesan boleh diambil tanpa memilih bulu.
LANGKAH 4
53. Saya telah berbincang dengan semua pemimpin tertinggi parti supaya mereka turun ke akar umbi. Bertemu dengan seramai mungkin ahli bagi memperjelaskan hala tuju dan idealisme perjuangan parti. Kita akan meletakkan KPI (penanda aras) kepada setiap program yang dijalankan. Ia sebagai penanda aras bagi mengukur keberkesanan dan akan diolah dari semasa ke semasa. Ini dilakukan melalui pendekatan ‘LOW COST, HIGH IMPACT’! Kos yang rendah tetapi memberi pulangan yang tinggi.
LANGKAH 5
54. Mutakhir ini, terdapat wakil rakyat UMNO melompat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas. Saya akui amat sukar untuk menyekat mereka keluar parti. Tetapi demi menghormati kehendak ahli-ahli parti yang telah dikhianati, KITA TELAH PUN MENGAMBIL LANGKAH DRASTIK MELALUI TINDAKAN UNDANG-UNDANG!
55. Saya ingin menyatakan bahawa writ saman telah pun dihantar kepada beberapa individu terbabit. Kita menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan mereka juga perlu mengosongkan semula kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional. MEREKA TIDAK LAGI MEMPUNYAI ASAS MORAL UNTUK MENJADI WAKIL RAKYAT.
KERUSI ITU MILIK UMNO!
KERUSI ITU MILIK PENYOKONG BARISAN NASIONAL!
56. Saya juga telah berbincang dan bersetuju, SEMUA WAKIL RAKYAT UMNO SEKARANG DIMINTA MENANDATANGANI AKUJANJI. JIKA MEREKA KELUAR PARTI, SAMA ADA MENJADI AHLI BEBAS ATAU PUN MENYERTAI PARTI LAIN, MAKA STATUS MEREKA SEBAGAI WAKIL RAKYAT TERLUCUT SECARA AUTOMATIK! KITA AKAN TUNTUT MEREKA MEMBAYAR PENALTI DAN GANTI RUGI!
TERAS KEDUA: MENENTANG EKSPLOITASI POLITIK
Saudara dan Saudari sekalian,
57. Kita sekarang diperintah oleh sebuah kerajaan baharu. SAYA INGIN BERTANYA, ADAKAH KITA BERPUAS HATI DENGAN PEMERINTAHAN MEREKA? ADAKAH RAKYAT PUAS HATI DENGAN HASIL UNDI MEREKA?
58. SEDARKAH KITA, RIBUAN ORANG TELAH DIBUANG KERJA? BERJUTA MASIH TIADA KERJA! KENAIKAN HARGA BARANG TIDAK MAMPU DIKAWAL! SYARIKAT-SYARIKAT DITINDAS OLEH KRONI KERAJAAN DAN PENYINGKIRAN PEGAWAI-PEGAWAI KANAN YANG CEMERLANG DALAM GLC! MEREKA GAGAL MENUNAIKAN JANJI-JANJI MANIFESTO YANG MEREKA BUAT SENDIRI. MASIHKAH RAKYAT BERPUAS HATI?
59. Lebih menyedihkan, maruah dan kedaulatan negara tercemar, apabila kerajaan menarik balik tuntutan ke atas Pulau Batu Putih. ADAKAH INI KEMAHUAN KITA SEMUA? BANGSA JOHOR, DI MANA ANDA? RELAKAH KITA? HARUSKAH KITA MENGIZINKAN MARUAH KITA DIGADAI SEBEGITU RUPA?
60. Paling membimbangkan, apabila provokasi terhadap Institusi Beraja dan tindakan mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, khasnya DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dibuat secara terbuka.
LANGKAH 6
61. Hari ini, campur tangan eksekutif begitu mencengkam badan kehakiman. Penghakisan dan pencabulan ke atas prinsip ‘Rule of Law’ sedang berlaku sekarang. Apa yang berlaku sekarang adalah CONTESTING AUTHORITY atau MENCABAR AUTORITI. Banyak tindakan mereka mengenepikan Perlembagaan dan keluhuran undang-undang.
62. Maka, UMNO hendaklah memastikan tindakan yang melanggar Rule of Law ini MESTI dihentikan! Setiap wakil rakyat UMNO sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah berperanan lebih berkesan untuk menyekat gejala ini!
LANGKAH 7
63. Pelanggaran dan pencabulan kepada prinsip Rule of Law ini, menjadi malapetaka besar ke atas prinsip pemisahan kuasa (separation of power) yang diamalkan oleh mana-mana negara demokrasi. Hari ini, negara semakin berundur. Wujudnya pendakwaan terpilih dan dilakukan berasaskan kepada fahaman politik. Ada kes yang masih dalam perbicaraan, tiba-tiba digugurkan begitu sahaja. Bak kata pepatah, ‘Tiba di perut dikempiskan. Tiba di mata dipicingkan. Tiba di dada dibusungkan.’ MALAHAN TIDAK DAPAT TANDUK, TELINGA PULA DIPULAS!
64. Mereka yang bertanggungjawab menegakkan The Rule of Law, telah mengotori dan mengoyakkan jubah integriti mereka sendiri. Kita mendesak kerajaan hari ini menghentikan segera pencabulan prinsip Rule of Law! Berhentilah dari melakukan gertakan murahan, apalagi mengaibkan Orang Kena Tuduh (OKT) melalui perbicaraan media massa dan media sosial!
REGIME CHANGE
Saudara dan Saudari sekalian,
65. Perubahan politik yang terjadi hari ini bukanlah sekadar peralihan kepada kepimpinan yang baharu, malah ia merupakan pertukaran keseluruhan jentera kerajaan. Inilah yang dipanggil ‘regime change’. ADAKAH KITA MENGIZINKAN KAKITANGAN KERAJAAN YANG CEMERLANG DAN PEGAWAI-PEGAWAI KANAN GLC DIBUANG DEMI MEMUASKAN SANG PENGUASA?
66. Harus diingat, situasi hari ini memungkinkan wujudnya situasi ‘hung parliament’ atau ‘parlimen tergantung’, di mana kerajaan itu boleh bertukar pada bila-bila masa. Pergolakan dan permasalahan dalaman boleh memusnahkan pakatan atau gabungan dalam sekelip mata. Kerajaan hari ini merupakan pakatan yang amat rapuh dan tidak stabil. Mereka menang tetapi tidak banyak, sementara yang kalah pula sekadar kurang sedikit. Keadaan tidak seimbang ini menyebabkan kedudukan kerajaan begitu rapuh dan boleh terbubar pada bila-bila masa! DALAM KEADAAN ITU, MEREKA AKAN MENCARI SIAPA? DI SINILAH LETAKNYA NILAI HARGA AHLI-AHLI UMNO! MAKA, JANGANLAH MEMANDAI-MANDAI CABUT!
LANGKAH 8
67. Saya ingin menekankan, janganlah disebabkan kerapuhan itu mengorbankan 3 asas keutuhan negara iaitu keamanan, kesejahteraan rakyat dan hubungan diplomatik. Janganlah bergaduh dengan semua orang. Bermusuh dengan jiran tetangga. Jangan sampai kita tidak ada negara rakan. Sikap ‘antagonis’ ini akan menyebabkan Malaysia bukan sahaja dipinggirkan di peringkat antarabangsa, malah usaha menarik pelaburan asing (Foreign Direct Investment) juga akan terbantut. Jika ini berlaku, maka kita akan menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan, apalagi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
68. Saya bimbang, kesan domino dan dasar populis yang diamalkan kerajaan hari ini, akan menjadi suatu ‘PERFECT STORM’ atau kekacauan yang boleh membawa kepada kehancuran negara. Ketika perut rakyat tidak ditangani dengan baik akibat tiada peluang pekerjaan, ia pasti akan mengundang malapetaka!
69. Oleh itu, saya menyeru kepada barisan Jemaah Menteri kerajaan hari ini. Janganlah dikira berapa banyak ikan di laut. Usahlah mengajak rakyat menanam nanas di atas air, di belakang rumah. Kiralah tiap-tiap titik perpuluhan bila bercakap soal ekonomi. Jangan asyik tersalah letak titik. BAHAYA TU! Dahulu janji menyediakan sejuta peluang pekerjaan, tiba-tiba anak muda pula yang diminta mewujudkan peluang pekerjaan sendiri. Anak-anak yang suci bersih berkasut putih, diarah tukar berkasut hitam. Kasihanilah graduan-graduan kita yang ditipu dengan tindakan U-turn daripada janji manis untuk menghapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN. JANGANLAH BERKOKOK, SEDANGKAN EKOR BERGELUMANG NAJIS!
70. Kepada menteri-menteri yang ada hari ini, janganlah leka dengan kejutan budaya sampai mengabaikan tanggungjawab! Tidak hairanlah Perdana Menteri sendiri sering membuat kenyataan bahawa prestasi menteri tidak memuaskan. Katanya mereka semua di bawah par! Ayuhlah, jangan biarkan Perdana Menteri keseorangan!
71. Jika mereka tidak mampu menjadi kerajaan, KEMBALIKAN KUASA KEPADA KAMI! KAMI MAMPU MELAKSANAKAN TUGAS DENGAN KOMITED DAN BERTANGGUNGJAWAB!
72. Kajian sebuah badan penyelidik bebas dan berwibawa memaparkan kebimbangan rakyat terhadap pentadbiran sekarang. Ketiadaan peluang pekerjaan dan pengangguran, yang pastinya menyebabkan jenayah semakin berleluasa. Tiada kerja, tiadalah gaji untuk menyara keluarga. Jenayah dan keganasan membuat rakyat hidup dalam keadaan resah-gelisah.
73. Saya menuntut kerajaan untuk mengambil perhatian serius kepada perkara ini! UMNO harus menjadi mata dan telinga rakyat, kita mesti mendengar setiap keluh kesah rakyat. Turunlah ke bawah dan dengarlah rintihan dan denyut nadi mereka.
TERAS KETIGA: MEMPERKASAKAN PARTI
Saudara dan Saudari sekalian,
74. Untuk memperkasakan parti, hadamlah perkara-perkara berikut:
LANGKAH 9
75. Kerajaan telah memutuskan had umur pengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun. Ini akan memberi kesan besar ke atas pola politik tanah air. Kita juga perlu melakukan usaha ke arah peremajaan parti. Bagi mewujudkan kesedaran politik pada peringkat lebih awal, maka adalah dicadangkan had umur keahlian parti diturunkan dari 18 tahun kepada 16 tahun.
LANGKAH 10
76. Had penggal Presiden. Bagi memastikan keutuhan parti selaras dengan manifesto saya, ketika pemilihan Presiden dan kepimpinan parti, saya mencadangkan kepada sidang hadirin sekalian agar penggal Presiden dihadkan kepada 2 penggal sahaja. Berbincang dan berbahaslah dalam soal ini, demi kepentingan dan survival parti kita.
LANGKAH 11
77. Saya menekankan peri pentingnya budaya keintelektualan disemai dan disuburkan dalam UMNO. Setiap pemimpin mesti mempunyai kemahiran dan kebolehan menguasai pelbagai bidang ilmu, khususnya berkaitan kepimpinan dan politik dalam UMNO. Sukacita saya mengumumkan penubuhan Sekolah Politik, bagi melatih seramai mungkin ahli-ahli UMNO. Sekolah politik ini akan melatih Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri untuk menjadi pembangkang yang berkesan di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
LANGKAH 12
78. Bagi memudahkan proses penerimaan kemasukan ahli-ahli ke dalam UMNO, saya mahu agar ia dipermudahkan, dan tidak ada halangan atau sekatan seperti yang berlaku sekarang. Sehubungan dengan itu, saya mengarahkan agar pemutihan ke atas senarai pangkalan data ahli-ahli dikemaskinikan segera. Kita tidak perlu berbangga dengan ahli yang ramai tetapi tidak setia, namun kita mahukan ahli yang berkualiti dan setia kepada parti! Saya mencadangkan agar Badan Perhubungan Negeri dan UMNO Bahagian diberi kuasa untuk pelaksanaannya.
LANGKAH 13
79. Pembangunan modal insan dan penyediaan pemimpin pelapis merupakan keutamaan kepada parti. Namun ia harus mengambil kira keupayaan kita untuk melaksanakan semua program yang dirangka. Justeru, saya mengarahkan agar semua program latihan ini diselaraskan di peringkat Pusat oleh Biro Latihan dan Perkaderan UMNO Malaysia, dan menyelaraskannya bersama Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Ini bagi memastikan pelaksanaan dan keberkesanan program dapat dicapai mengikut piawaian dan KPI yang ditetapkan. Malah, Pergerakan Pemuda UMNO telah menyediakan modul khusus perkaderan untuk dilaksanakan. Program-program perkaderan ini harus dilaksanakan secara intensif.
LANGKAH 14
80. Perkongsian pintar kesemua maklumat dan informasi di peringkat lokaliti Dewan Undangan Negeri dan Parlimen mestilah diselaraskan. Setiap maklumat mesti disalurkan dengan pantas dan berkesan, sesuai dengan letusan teknologi maklumat dan media sosial yang meluas. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar ditubuhkan ‘war-room’ untuk menjadi ‘command center’ di peringkat ibu pejabat. Perhubungan Negeri dan Bahagian-bahagian hendaklah dilibatkan secara konsisten dan kemaskini, bukan secara berkala atau sekali-sekala!
LANGKAH 15
81. Di peringkat Penerangan UMNO Malaysia, saya mengarahkan diperkasakan lagi Jabatan Komunikasi Strategik bagi memastikan program yang mampu menjangkau kumpulan sasaran. Segala dasar dan perancangan parti perlu diketahui oleh ahli akar umbi. Penubuhan jabatan ini penting agar program parti dapat dijalankan dengan lebih berkesan mengikut keutamaan. Ini bagi membolehkan parti melaksanakan komunikasi bersepadu kepada kumpulan sasar menerusi teknologi maklumat. Ahli-ahli UMNO perlu bergerak aktif dalam menyebarluas maklumat dan menangkis setiap tohmahan.
TERAS KEEMPAT: HAK KUASA ISTIMEWA
Saudara dan Saudari sekalian,
82. Saya sedar dalam PRU-14 yang lalu, UMNO hanya menang di dua buah negeri iaitu Perlis dan Pahang.
LANGKAH 16
83. Berdasarkan post-mortem dan hasil perbincangan di pemukiman, kita dapati peranan Badan Perhubungan UMNO Negeri harus diberikan kuasa-kuasa tertentu untuk memberi lebih ruang kepada mereka membuat keputusan. Kita bersetuju dengan penurunan kuasa ini yang melibatkan jentera, pengurusan dan hal-ehwal disiplin parti serta melakukan penyelarasan aktiviti ke akar umbi dalam usaha merakyatkan parti.
84. Ini membolehkan pengurusan di peringkat negeri lebih sistematik dan tidak terlalu bergantung serta terikat dengan Pusat. Mereka ada kuasa untuk mempengaruhi sentimen ahli negeri masing-masing.
LANGKAH 17
85. Ingin saya ingatkan, kerajaan kita dahulu telah pun menubuhkan Jawatankuasa Penurunan Hak-Hak Sabah dan Sarawak bagi mengkaji dan memastikan hak-hak mereka diperinci dan dikembalikan selaras dengan Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 (MA63).
86. Ini bagi menjamin kemakmuran ekonomi yang adil di Sabah dan Sarawak, seperti mana yang dikecapi di Semenanjung. Saya menyeru kerajaan hari ini, agar meneruskan agenda pemberian 20% hasil royalti minyak dan gas kepada rakyat Sabah dan Sarawak, sebagaimana yang termaktub di dalam manifesto mereka.
87. Hormatilah hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak, dan janganlah dipermainkan untung nasib mereka. TIDAK USAH BERDOLAK-DALIK LAGI, APA YANG DIJANJI HENDAKLAH DITEPATI, KATA HENDAKLAH DIKOTA!
88. Sudah sampai masanya beberapa dasar penurunan kuasa istimewa politik dilaksanakan untuk negeri Sabah, sesuai dengan perubahan landskap politik hari ini. Saya mengumumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Khas telah dibentuk untuk pelaksanaan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah.
89. Saya ada menerima memorandum daripada UMNO Sabah agar Majlis Kerja Tertinggi membuat pertimbangan, antaranya mengenai pemberian autonomi kepada UMNO Sabah dalam aspek khusus berpandukan kepada Perlembagaan dan Peraturan Parti.
90. Autonomi merujuk kepada tadbir urus sendiri ke atas perkara-perkara yang ditetapkan di bawah undang-undang atau peraturan parti. Antaranya ialah untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan anak negeri, Bumiputera dan masyarakat negeri Sabah secara keseluruhannya.
91. Mesyuarat Agung Luar Biasa akan diadakan bagi memutuskan perkara ini dan perkara-perkara lain yang memerlukan pindaan Perlembagaan UMNO. Pada dasarnya kami menerima syor-syor tersebut.
TERAS KELIMA: MUAFAKAT POLITIK
Saudara dan Saudari sekalian,
LANGKAH 18
92. Hari ini, UMNO menjadi pembangkang. Inilah realitinya. UMNO tidak boleh lagi ada mentaliti sebagai kerajaan. Sebagai pembangkang, kita harus bertaut dengan rakan-rakan pembangkang yang lain. Ini kerana musuh kita adalah sama. Sudah lama kita melakukan kerjasama politik ataupun Tahaluf Siasi dengan MCA, MIC, MyPPP, PBRS dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional.
93. Namun, perlu di terima hakikat, kita akan meneruskan kerjasama dalam Gagasan Pembangkang di atas semangat Ta’awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri.
94. Kerana itu kita yakin bahawa parti-parti berasaskan kaum, bangsa atau etnik bukanlah suatu perkara buruk atau terkebelakang. Dalam sejarah UMNO selama 72 tahun serta sejarah Perikatan dan Barisan Nasional, tidak pernah terjadi negeri-negeri tidak boleh meneruskan mesyuarat agung tahunan, seperti yang berlaku dalam sebuah parti. Temasya baling kerusi dan pukul memukul seolah-olah menjadi sebahagian daripada agenda mesyuarat mereka. Ini bukan amalan kita selama ini!
95. Demi kepentingan rakyat, pintu UMNO sentiasa terbuka untuk jalinan kerjasama dengan sebarang parti politik, asalkan prinsip UMNO tidak tergadai atas jalinan politik itu nanti. KITA TIDAK RELA UMNO DIBUBARKAN!
LANGKAH 19
96. Sebagai Pengerusi Barisan Nasional, saya telah mengambil kira secara serius berhubung hala tuju dan permuafakatan kita. Tindakan segera mesti dilakukan bagi membina keyakinan rakyat. SUKA SAYA MENGUMUMKAN, BARISAN NASIONAL AKAN DIJENAMAKAN SEMULA SEBAIK SAHAJA PERUNDINGAN DENGAN RAKAN-RAKAN KOMPONEN YANG SEDIA ADA SELESAI DAN DIMUKTAMADKAN! Cadangannya, parti gabungan ini bakal dianggotai dengan entiti-entiti berikut:
i. Parti-parti teras merangkumi UMNO, MCA, MIC, MyPPP, dan PBRS
ii. Parti-parti gabungan lain yang memahami aspirasi dan idealisme perjuangan bersama
iii. Parti politik mesra UMNO yang selama ini banyak membantu dan menyokong
iv. Badan Bukan Kerajaan (NGO)
v. Individu ahli langsung (direct membership) iaitu pendekatan di mana individu boleh menjadi ahli Barisan Nasional tanpa melalui mana-mana parti politik
97. Inilah yang akan kita lakukan dalam penjenamaan semula Barisan Nasional
TERAS KEENAM: KERAJAAN MENANTI
Saudara dan Saudari sekalian,
LANGKAH 20
98. Biarpun tidak dapat membentuk kerajaan, UMNO merupakan sebuah parti paling dominan berdasarkan keputusan PRU-14. Sebab itu nilai pemimpin UMNO yang menang pada pilihan raya umum lalu, adalah mahal harganya.
99. Dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto dan beberapa dasar flip-flop telah membangkitkan kemarahan rakyat, saya percaya UMNO mempunyai harapan cerah untuk mendapat kembali kepercayaan rakyat.
100. Saya telah mewujudkan 4 kluster bagi memastikan prestasi kerajaan hari ini dipantau dengan teliti. Fungsi dan tugas jawatankuasa ini adalah seakan-akan ‘kabinet bayangan’ dan ia adalah seperti berikut:
KLUSTER PERTAMA: Jabatan Perdana Menteri, Perundangan, Sumber Manusia dan Keselamatan
KLUSTER KEDUA: Kewangan, Ekonomi dan Industri
KLUSTER KETIGA: Pendidikan, Sosial dan Budaya
KLUSTER KEEMPAT: Infrastruktur, Teknologi dan Kesihatan
101. Perlu saya tegaskan, kita bukan hanya sebagai pembangkang yang konstruktif dan dinamik, tetapi kita juga adalah KERAJAAN MENANTI atau GOVERNMENT-IN-WAITING!
TERAS KETUJUH: PENGORBANAN JIWA RAGA
Saudara dan Saudari sekalian,
102. Ujian paling besar terhadap ahli UMNO adalah soal pengorbanan. Kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang menjadi penggerak di barisan hadapan kita, teruslah bergerak ke cawangan-cawangan, menjadi mata dan telinga parti, terus memperjuangkan nasib anak bangsa kita!
LANGKAH 21
103. Saya mahu agar semangat kesukarelaan ini perlu terus hidup subur dalam parti. Dalam keadaan serba kepayahan ini, semua sayap-sayap parti harus terus bergerak. Ketengahkanlah permasalahan rakyat, perjuangkanlah hak mereka dalam kebajikan, pendidikan, perumahan, pekerjaan, ekonomi dan sebagainya secara berterusan. Berilah mereka pembelaan yang sepatutnya, sekadar yang kita mampu.
104. Saya mendengar semua ucapan dasar Ketua-ketua sayap. Saya bersetuju dengan Ketua Pergerakan Wanita yang mahu memulakan gerak kerja yang baru untuk akar umbi, walaupun sukar tetapi penuh keyakinan. Oleh itu, marilah kita:
i. Mencari titik persamaan bukan garis perbezaan.
Mencari kesatuan dan bukannya perpecahan.
Mencari kekuatan dan bukannya kelemahan.
Bergerak ke hadapan untuk tidak mencurah geram, amarah atau menuding jari mencari salah.
Menjadi wahana untuk bermuhasabah diri dan menilai diri.
ii. Memulakan gerak kerja baru, memanfaatkan sejarah kekuatan dan komitmen dari peringkat akar umbi bagi memulakan langkah, meskipun getir dan sukar tetapi penuh keyakinan.
iii. Bersetuju terhadap saranan penubuhan team penyelidikan, media, strategik dan persepsi untuk menambahbaik serta memperkasakan organisasi sejajar perkembangan politik semasa.
iv. Penubuhan team data politik dan pilihan raya.
v. Penubuhan team prihatin interaktif yang memfokuskan kepada memahami perilaku pengundi secara menyeluruh dengan menumpukan pengumpulan maklumat berdasarkan demografi rakyat.
vi. Menyantuni aktivis dan ahli profesional wanita yang mempunyai pengalaman, pengetahuan serta kepakaran.
vii. Mendekati dan menarik lebih ramai simpatisan UMNO, non-card carrying members dan sukarelawan.
105. Saya juga amat bersetuju dengan saranan Ketua Pergerakan Pemuda yang meminta supaya:
i. Kita menjuarai agenda rakyat,
ii. Menyantuni kepelbagaian anak-anak muda,
iii. Memperkukuhkan nilai inklusif,
iv. Pengislahan Pemuda, serta
v. Melakukan penjenamaan semula Pemuda.
106. Saya juga sehaluan dengan saranan Ketua Pergerakan Puteri iaitu:
i. Akan bekerja keras untuk mengamit sokongan wanita muda untuk terus mendukung dan memberi kepercayaan semula kepada UMNO.
ii. Menggerakkan tenaga profesional muda wanita untuk didekati bagi membantu meraih dan memulihkan UMNO.
iii. Turun ke institusi pengajian tinggi untuk membawa mereka agar turut memahami dan menghayati perjuangan parti.
iv. Bersedia menjadi kumpulan pelapis kepemimpinan, selaras dengan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun.
107. Saya yakin Pergerakan Puteri akan bergerak bersama-sama Pergerakan Pemuda untuk memperkukuhkan pelaksanaan program perkaderan bagi memperkasakan kepemimpinan muda UMNO. Ini untuk membolehkan mereka mengambil-alih kepemimpinan UMNO masa depan.
108. Sebagai Presiden UMNO, saya menyelami dan amat memahami hasrat ketiga-tiga sayap parti untuk terus membantu UMNO bagi merealisasikan langkah-langkah hala tuju kita. Saya mengiktiraf semua saranan itu sebagai langkah ke-21 seperti yang saya nyatakan.
RUMUSAN
Saudara dan Saudari sekalian,
109. Berbeza pendapat itu suatu rahmah dan perlu diraikan. Seperti bidalan, bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang! Jangan sampai jong pecah, yu yang kenyang! Jangan sampai perselisihan antara kita, menguntungkan pihak lain. Elakkanlah memberi komen dan menjawab hal-hal berkaitan parti secara terbuka. JANGAN BAGI BOLA TANGGUNG KEPADA PIHAK LAWAN! Kita wajib merapatkan saf kepimpinan dan akar umbi untuk memenangi hati rakyat. Hentikanlah perbalahan dan persengketaan dalam kalangan kita demi kelangsungan perjuangan UMNO.
110. Dalam membina kembali kekuatan keluarga besar UMNO, perbezaan mesti disantuni dengan penuh kebijaksanaan.
Elok basa kan bekal hidup,
Elok budi kan bekal mati!
Yang lorek itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang molek itu budi,
Yang indah itu bahasa.
111. DALAM SAAT KESUSAHAN DAN KEPAYAHAN, JANGAN ADA DALAM KALANGAN KITA MENGAMBIL KESEMPATAN DALAM KESEMPITAN! Saya mengharapkan agar semua ahli dan saf kepimpinan merapatkan barisan dan tingkatkan kemuafakatan. Ayuh, junjunglah rakyat dan letakkanlah parti mengatasi segala-galanya! Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
112. Kita perlu menghormati pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah memimpin kita selama ini, dan masih terus bersama-sama kita. Biarpun kepayahan sedang melanda namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita juga hendaklah terus memanjatkan doa, agar sebarang musibah yang sedang dihadapi akan dilalui dengan penuh ketenangan, dan rasa redha serta tawakal kepada Allah SWT.
113. Saya tertarik dengan bidalan, “tiada yang lama sudah pasti tiadalah yang baharu”. Yang lama menyayangi yang baharu, yang baharu menghormati yang lama. Bak kata Allahyarham Tun Ghaffar Baba, “kalau pelepah bawah jatuh, pelepah atas jangan ketawa”. SESUNGGUHNYA SIFAT TERLAMPAU YAKIN SEHINGGA MENIMBULKAN KEANGKUHAN, TIDAK ADA TEMPAT DI DALAM UMNO!
114. Kepada para perwakilan, marilah kita bersidang dengan penuh tanggungjawab dan berbincang dalam usaha membina semula UMNO.
115. Marilah kita bina UMNO sebagai parti yang penuh falsafah dan berideologi perjuangan. Kita raikan kepelbagaian yang ada di hadapan kita. Mari kita berusaha dan bersedia menjadi kerajaan semula dalam waktu yang terdekat, atau selepas PRU-15 nanti.
116. Saya yakin kita semua tahu dan percaya, untuk membina keyakinan rakyat terhadap UMNO, kita sebagai ahli dan pemimpin hendaklah terlebih dahulu yakin kepada diri kita sendiri, bahawa kita boleh melakukan apa sahaja yang telah kita gariskan dalam perancangan parti kita.
117. Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha mengukuhkan parti dengan mengukuhkan diri kita terlebih dahulu. Tingkatkan iman dan ketaqwaan, kerana dari situlah bermulanya titik-tolak survival perjuangan kita. Jadikan perjuangan ini suatu jihad yang amat bermakna bagi setiap diri kita.
118. Pada musim saya diamanahkan menjadi Presiden, yang saya terima dengan penuh rasa tawadhuk, saya amat mengharapkan agar kita mampu memulihkan UMNO yang telah jatuh daripada persada kerajaan ini, untuk bergerak sebagai suatu pasukan yang mantap, kukuh dan digeruni.
119. Marilah, kita pandang ke hadapan lebih kerap daripada kita saling memerhati rakan-rakan seperjuangan kita. Kita kerahkan tenaga ke arah menggerakkan parti, dan bukan mengumpul cacat-cela rakan-rakan kita. Kita semua adalah manusia, tidak ada yang sempurna
120. Untuk itu,
BANGKITLAH SAUDARA-SAUDARA SEKALIAN!
BANGKITLAH MENYAMBUNG PERJUANGAN INI!
BANGKITLAH MELAUNGKAN SEMANGAT INI!
HIDUP UMNO!
HIDUP MELAYU!
HIDUP RAKYAT!
HIDUP MALAYSIA!
UMNO… (bangkit)
UMNO… (bangkit)
UMNO… (bangkit)
ALLAHUAKBAR!
ALLAHUAKBAR!
ALLAHUAKBAR!
121. Kepada Allah SWT kita berserah. Dengan nama Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang, maka dengan lafaz “Fassabih biham dirob bikawas taghfir innahu kanatau waba”, saya dengan segala sukacitanya merasmikan ‘PERHIMPUNAN AGUNG UMNO BAGI TAHUN 2018’. Semoga Allah memberkati perjuangan kita.
Sekian, terima kasih.