Pemuda UMNO Wira Parti, Tetap Setia Dan Terus Bangkit – Rahman

KUALA LUMPUR,1 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad bukan sahaja menzahirkan penghargaan kepada Pemuda UMNO Lipis malah sayap parti berkenaan amat dekat dengan dirinya.

Menurut beliau pergerakan itu adalah wira kepada parti kerana tetap setia ketika susah malah terus bangkit hingga ke hari ini.

“Saya rasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis pagi ini di Wisma UMNO Lipis.  Pergerakan Pemuda ini sangat dekat di hati saya, kerana saya juga lahir dan bermula dari alam pemuda.

“Dalam ucapan saya tadi saya telah rakamkan penghargaan saya kepada semua Pergerakan Pemuda, anda adalah wira kepada parti ini, terbukti setia di saat suka dan duka, yang tetap bangkit dalam kesusahan dan terus bertahan sehingga saat ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Lipis seterusnya menambah masing-masing bukan sahaja telah melalui dan malah belajar pengalaman yang lalu.

“Saya percaya banyak kita belajar daripada kekalahan dahulu dan kemenangan-kemenangan dalam PRK yang lalu. Teruslah tambat hati dan kepercayaan rakyat. Peranan pemuda ketika ini bukanlah sekadar memasang bendera, tetapi peranan pemuda lebih daripada itu. Persiapkan jentera, perkemaskan langkah.

“Yakinlah, Selagi nyawa dikandung badan, selagi hayat diizin Tuhan, selagi semangat masih membara,berjuanglah sehabis daya,mempertahan parti perjuangan, parti keramat ini,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.