Pemimpin UMNO Tak Lari Dalam Berjuang, Hadapi Tekanan Yakin Berani Kerana Benar – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa pimpinan UMNO yang berdepan dengan pelbagai tekanan sewaktu lawan politik berkuasa tidak pernah takut berdepan sebarang tindakan ekoran berani kerana benar.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian menerusi hantaran dalam laman Facebooknya susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskannya setelah didapati tidak bersalah atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Dalam hal ini, Ahmad Zahid melahirkan kesyukuran dan yakin dibebaskan daripada pertuduhan yang sengaja diada-adakan sekiranya mendapat sebuah perbicaraan yang adil.
“Syukur ke hadrat Ilahi di atas keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan saya daripada 40 pertuduhan yang dikenakan terhadap saya semasa kerajaan 22 bulan berkuasa.
“Seperti sering saya nyatakan diri ini amat yakin akan dibebaskan daripada pertuduhan yang sengaja diada-adakan sekiranya mendapat sebuah perbicaraan yang adil.”
Katanya, seperti juga yang selalu dinyatakan bahawa pimpinan UMNO yang berdepan dengan pelbagai tekanan sewaktu lawan politik berkuasa tidak pernah takut berdepan sebarang tindakan kerana beranilah kerana benar.
“Saksikan kami tidak pernah lari sebaliknya berjuang untuk membersihkan nama kerana percaya kebenaran akan terserlah jua sekiranya perbicaraan dapat dilangsungkan secara telus dan saksama.
“Terima kasih pasukan guaman bertungkus lumus dan tidak pernah berputus asa mendapatkan keadilan buat diri saya. Terima kasih juga semua yang mendoakan sepanjang perbicaraan ini.
“Insya-Allah keputusan mahkamah ini akan menjadi penguat semangat untuk saya terus memperjuangkan segenap kebenaran yang perlu diangkat walau apa cabaran mendatang,” katanya.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, di akhir kes pendakwaan. – UMNO Online