Jentera Pemuda BN Sedia Redah Banjir Hadapi PRU15

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) bersedia meredah banjir yang diramal berlaku hujung tahun ini sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh tersebut.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sekiranya ditakdirkan PRU15 diadakan hujung tahun ini meskipun beberapa negeri sering dilanda banjir dalam tempoh tersebut, jentera Pemuda gabungan politik itu tetap bersedia mengharunginya.

“Kita tahu ada kekangan, akhir tahun ini ada banjir, ada hujan lebat, ada monsun timur laut tetapi kalau Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bubar masa banjir pun, kita sanggup redah banjir,” katanya ketika berucap melancarkan Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Selain Ismail Sabri, turut hadir Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.

Presiden UMNO itu juga berkata beliau yakin BN mampu menawan Putrajaya pada PRU15 berdasarkan semangat yang ada pada Pemuda gabungan politik tersebut dibantu jentera Wanita dan Puteri.

“Kita kena buat pendekatan hibrid jangan sasar Pemuda sahaja, ini mesti dilakukan koordinasi secara hibrid, mesti berganding bahu untuk menentukan semua jentera digerakkan untuk memperkenal calon-calon BN,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata kesiapsiagaan jentera BN dari segi perkakasan tempur untuk berdepan perang maya mesti diperkukuh selain menjawab sebarang isu dengan segera.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.