UMNO Kedah Nafi Terima Jemputan Ke Muktamar PAS, Takiyuddin Perlu Tampil Mohon Maaf – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menggesa agar Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan memohon maaf secara terbuka atas kekeliruan yang ditimbulkan berhubung penerimaan jemputan tersebut.

Jelasnya, umum sedia mengetahui reputasi Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengelirukan Parlimen dan Tuanku Agong tidak lama dulu dan tidak hairan kecenderungan ini kembali diulangi semata-mata bagi menutupi kelemahan diri sendiri.

“Pendirian Perhubungan UMNO Negeri adalah jelas, walaupun dilukai dan dikhianati sekiranya pihak kami menerima jemputan secara rasmi, sudah tentunya akan dipertimbangkan. Jelas kami tidak menerima sebarang jemputan secara bertulis mahupun secara lisan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Seterusnya kata Shaiful, UMNO Kedah ingin menjelaskan pihaknya sama sekali tidak menerima apa-apa jemputan secara bertulis mahu pun secara lisan berkaitan jemputan ke Muktamar Pas.

“Namun hakikatnya tuduhan bahawa UMNO Kedah tidak hadir walaupun dijemput adalah tidak berasas sama sekali,” ujarnya

Memetik laporan, tidak ada seorang wakil daripada parti UMNO sama ada di peringkat negeri ataupun Pusat, hadir dalam Majlis Perasmian dan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 yang diadakan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini hari ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang turut menyatakan bahawa jemputan yang dihantar kepada wakil parti berkenaan turut tidak mendapat sebarang maklum balas serta jawapan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.