MIRF 2022 Medan Untuk Perniagaan Runcit, Francais Berkembang Semula – Noh Omar
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Acara Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (MIRF) Kali Kelima yang bermula hari ini sehingga 16 Julai 2022, merupakan satu medan bagi membolehkan perniagaan tempatan berkembang semula selepas dua tahun bergelut dengan pandemik.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata keyakinan itu turut didorong oleh impak pemulihan industri runcit Malaysia yang mampan sejak akhir tahun lepas apabila mencatat kadar pertumbuhan baik sebanyak 18.3 peratus bagi jualan runcit untuk suku pertama 2022.
Malah, katanya, kadar pertumbuhan jualan runcit diunjur meningkat kepada 25.7 peratus pada suku kedua berdasarkan Laporan Industri Runcit Malaysia terkini selain didorong oleh kadar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak lima peratus pada awal tahun ini.
“Saya juga dimaklumkan bahawa MIRF mencatat transaksi lebih RM80 juta menerusi hasil perniagaan dengan penyertaan lebih 15,000 pengunjung pada edisi terdahulu iaitu sebelum pandemik.
“Oleh itu, saya percaya jumlah tersebut dapat meningkat kepada lebih RM90 juta serta memberi manfaat kepada lebih ramai pengunjung pada tahun ini,” katanya pada majlis perasmian MIRF 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) kementerian itu, Datuk Zamri Salleh.
Menurut Noh, kementerian itu menerusi agensinya, Pernas juga menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 18,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2025 yang selaras dengan komitmen teguh untuk membangunkan lebih ramai usahawan khususnya dalam bidang francais.
MIRF 2022 bertemakan “Mulakan Semula : Peruncitan & Francais” dianjurkan oleh Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) dan diunjur menjana potensi pendapatan hampir RM90 juta bagi para pempamernya.
Seramai 15,000 pengunjung dijangka menghadiri acara itu yang mengetengahkan lebih 400 gerai pameran dari lebih 10 negara termasuk Korea Selatan, Singapura, Taiwan, India, Pakistan, Jepun, Cyprus dan Filipina.
Selain itu, majlis perasmian MIRF 2022 berkenaan turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MRCA dan Persatuan Francais BUSAN bagi memupuk kerjasama dua negara dalam mempromosikan industri francais.
Sementara itu, Presiden MRCA Sharan Valiram berkata melalui MIRF, persatuannya komited untuk menjadikan Malaysia sebagai batu loncatan bagi membolehkan kalangan peruncit dan perniagaan francais berkembang.
Menurutnya, ini memandangkan pelbagai jenama, organisasi dan pengamal industri terbabit dapat memudahkan proses membina rangkaian selain dapat berurus niaga secara langsung di bawah satu platform.
“Kami juga maklum bahawa terdapat petunjuk positif berdasarkan angka jualan akhir tahun (industri runcit) yang dijangka mencecah RM13 bilion, berdasarkan kekuatan sedia ada walaupun dilanda pandemik.
“Sekali lagi, statistik telah membuktikan sumbangan penting industri runcit terhadap ekonomi Malaysia yang turut menjadi antara tiga penyumbang utama kepada keluaran dalam negara kasar,” katanya. – BERNAMA