“10 Pergi 100 Akan Ke Hadapan, Perjuangan Parti Bukan Untuk Individu” – Shahrir
KUALA LUMPUR, 24 Sept –”Siapa jadi Presiden tidak ada masalah sebab perjuangan bukan soal individu. Bagi saya satu pergi 10 datang… 10 pergi 100 akan ke hadapan.
“Kita berada dalam parti bukan untuk individu tetapi kerana perjuangan anak cucu cicit, bagaimana negara ini mahu dibentuk dan ia dibentuk melalui politik,”, demikian pandangan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Justeru jelas beliau, ahli UMNO perlu yakin dengan perjuangan parti dan jangan kecewa apabila ada pemimpin yang mengambil tindakan keluar parti.
“Kalau saya sendiri keluar parti saya rasa akan ada 10 lagi yang akan langkah ke hadapan kerana kita wujud bukan kerana personaliti atau individu. Di Johor Bahru sendiri apa yang saya terjemahkan adalah soal parti, satu gerakan manusia yang berpandu kepada perjuangan dan bukan kerana individu.
“Setiap individu itu ada pemikirannya tersendiri. Tidak semua boleh kata ‘saya memang orang UMNO, saya percaya kepada perjuangan Umno’, ada yang kata ‘saya ahli perniagaan… saya nak selamatkan perniagaan’ dan ada kata ‘saya ada masalah, saya tidak mahu masalah saya dibongkar dan sebab itu saya keluar’.
“Jadi, melihat kepada ini maka bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika ada pemimpin yang keluar parti sebab tidak semua boleh berdiri dan duduk dalam parti tanpa jawatan dalam kerajaan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Shahrir, ahli UMNO seharusnya terus yakin dengan perjuangan parti selagi ia tidak lari dari apa yang telah diperjuangkan selama ini.
“Bagi saya tidak kira siapapun Presiden parti.. tidak jadi masalah kecuali Presiden dalam tindakannya mengambil sikap melanggar perjuangan parti,” tekan beliau lagi. – MediaUMNO