PPIM Bangunkan Aplikasi Yakin, Bantu Kenal Pasti Perkhidmatan Mengelirukan

PETALING JAYA, 16 Jun – Aplikasi YAKIN, sebuah platform gaya hidup Muslim yang dibangunkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dilihat mampu membantu pengguna mengenal pasti perkhidmatan yang mengelirukan dan bersifat scam (penipuan).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata aplikasi yang dibangunkan bersama Crescent Digital Sdn Bhd itu akan membantu pengguna untuk lebih berwaspada sebelum menjalankan sebarang urusan, bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Sebagaimana kita sedia maklum, peranan PPIM adalah untuk memperjuangkan hak-hak pengguna dan aplikasi YAKIN bertepatan dengan objektif penubuhan PPIM lebih-lebih lagi dalam dunia digital untuk mendidik rakyat agar lebih sofistikated dan celik teknologi.

“Pengguna boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh PPIM seperti aduan hal ehwal pengguna, sumbangan derma dan pelbagai maklumat terkini daripada PPIM dengan mudah menggunakan telefon pintar mereka,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi mudah alih YAKIN di sini hari ini.

Aplikasi YAKIN turut menyediakan ciri-ciri lain antaranya tasbih digital, waktu solat, arah kiblat, doa harian dan kalkulator zakat.

Selain itu, Dr Adham percaya aplikasi YAKIN berpotensi digunakan sebagai platform untuk membantu serta menyokong peniaga khususnya Muslim untuk mempromosikan produk mereka.

Beliau berkata aplikasi YAKIN dilihat mampu memperkasa pengguna dan usahawan khususnya yang beragama Islam seterusnya memacu inovasi tempatan bernilai tinggi yang mampu menyumbang kepada ekonomi digital negara.

Dr Adham berharap pada masa hadapan PPIM dapat menjadikan aplikasi YAKIN sebagai platform e-dagang yang menjual barang harga patut untuk manfaat pengguna.

“Kini, produk dan perkhidmatan halal semakin mendapat perhatian global bukan sahaja disebabkan pertambahan umat Islam di dunia, tetapi juga kerana produk halal dikenali sebagai penanda aras bagi kualiti dan juga jaminan keselamatan yang baik.

“Selain itu, industri halal juga tidak terhad kepada sektor makanan (tetapi juga) sektor-sektor inovasi lain termasuk pertanian, kewangan, fesyen, kosmetik, farmasi, perusahaan, pelancongan dan insurans,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit