Kemenangan Barisan Nasional, PPBM Bakal Menjadi Sejarah
Alhamdulillah, Bangsa Johor telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan memilih kerajaan Barisan Nasional untuk menerajui Johor bagi 5 tahun akan datang.
Barisan Nasional menang di 40/56 kerusi sekaligus membentuk kerajaan negeri dengan Majoriti 2/3. Terima Kasih Bangsa Johor, kami berjanji akan bekerja keras untuk seluruh rakyat negeri Johor tanpa kira pilihan mereka.
Yang lebih menarik, Alhamdulillah seperti di Melaka, BN tidak hilang deposit dalam mana-mana kerusi yang dipertandingi. Berbanding dengan PKR yang hilang deposit 7 Kerusi, Pakatan Harapan di 4 Kerusi, dan PN yang hilang deposit di 4 kerusi, ini termasuk PPBM yang hilang deposit di 2 kerusi.
Banyak pula yang sebut semasa kempen bahawa Johor adalah kubu kuat PPBM kerana ini la Negeri Presiden PPBM. Ada yang sebut, zon utara merangkumi 16 kerusi berat kepada Tan Sri Muhyiddin, namun hanya 2 kerusi yang diperoleh PN manakala DUN Gambir, DUN di mana Tan Sri penyandang dimenangi oleh Barisan Nasional.
Kalau Negeri Johor yang sepatutnya jadi ‘kubu’ kuat pun boleh kalah, soalannya apatah negeri-negeri lain? Ataupun Negara secara keseluruhan?
Mungkin itu la sebabnya Tan Sri Muhyiddin tawarkan untuk letak jawatan selaku Pengerusi PN. Kerana apa yang berlaku di Johor sangat memalukan. Ini jelas akan mengakibatkan perpecahan yang sudah berada di dalam PPBM jadi lagi teruk.
Kita tahu PPBM pecah kepada 3 kumpulan. Kumpulan Pertama adalah mereka yang berada di PPBM sebelum PRU14 yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin. Kumpulan Kedua adalah mereka yang jadi katak dan lompat selepas PRU14 yang diketuai oleh Hamzah Zainuddin. Kumpulan ketiga adalah group Azmin yang masuk dari PKR.
Perpecahan yang sudah pun berlaku akan jadi lebih teruk apabila Tan Sri Muhyiddin sudah tidak mengepalai Pakatan ini.
Saya simpulkan apa yang akan berlaku apabila PPBM berpecah:
1. Tan Sri Muhyiddin letak jawatan, Ahmad Faizal Azumu memangku dan beliau akan buat keputusan untuk membubarkan PPBM kerana perpecahan tidak boleh diperbaiki.
2. Katak akan keluar ramai-ramai minta nyawa dengan UMNO, di mana ‘mungkin’ akan terima tetapi masuk sebagai Ahli Baru. Mula dari bawah semula.
3. Pasukan Azmin akan diketuai oleh Zuraida, Zuraida akan meninggalkan PPBM untuk Parti Bangsa Malaysia dan akan meminta nyawa dengan Barisan Nasional.
Walaupun Azmin & Zuraida kini tidak mempunyai hubungan yang baik ketika mereka di PKR dahulu.
Apa apa yang berlaku, Barisan Nasional akan tetap bersatu padu membawa aspirasi rakyat dari akar umbi untuk memastikan agar kesejahteraan rakyat serta keharmonian masyarakat terus terbela.
Rakyat Melaka sudah, Rakyat Sarawak sudah, Bangsa Johor sudah. Semua bersuara memilih kerajaan kuat dan stabil. Mereka tidak memilih pakatan yang menjual harapan palsu, mereka tidak memilih perikatan yang mengkhianati kawan.
Kerana itu, Pilihan yang tepat akan sentiasa kekal Barisan Nasional.
Oleh: Iqbal Jamal