Ketepikan Perbezaan, Perang 60 Tahun, UMNO Dan Pas Akan Buktikan Di Seri Setia – Zahid
KUALA LUMPUR, 7 Sept – Grand Finale Ceramah Mega Pas sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mencatat sejarah apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkongsi pentas dengan barisan kepimpinan Pas lain khususnya Timbalan Presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyeru agar perbedaan selama ini diketepikan dan PRK DUN Seri Setia menjadi bukti antara UMNO dan Pas berkerjasama sebelum ini turut ditonjolkan pada PRK Sungai Kandis apabila Pas memberikan laluan kepada UMNO untuk meletakkan calon.
“Ketepikan perbedaan antara kita. Cukuplah….Allah s.w.t telah menguji kita enam dekad. 60 tahun kita melaluinya dan kita pernah bersatu pada 1974 di dalam BN. Itu satu sejarah lama. Hari ini sejarah baru yang kita akan ukir tanpa meninggalkan rakan-rakan lain. Berikan peluang insya Allah kami akan buktikan sesuatu.
“Kita mempunyai agenda yang sama…ya…60 tahun kita berperang…ya saya tahu di akar umbi bukan senang untuk memberitahu rakan-rakan di dalam ahli Pas dan rakan-rakan di dalam UMNO untuk duduk satu bumbung seperti ini.
“Insya Allah kita akan mendepani semua permasalahan. Yakinlah. Kita buktikan di Seri Setia ini,’ katanya ketika berucap pada pentas Grand Finale kempen PRK Seri Setia di Padang Permainan Jalan PJS8/9, di sini, malam tadi.
Meneruskan ucapannya, Ahmad Zahid turut meminta agar semua pihak tidak menimbulkan soal tahalluf siyasi di peringkat nasional.
“Jangan bercerita soal tahalluf di peringkat nasional. Saya tidak mahu sebarang spekulasi dilakukan tetapi yakinlah UMNO ikhlas sebagaimana ikhlasnya Pas di Sungai Kandis. Kami amat menghargainya.
“Kami serius dalam soal tabayyun, kami serius dalam taawun…kesefahaman”, ujarnya.
Seri Setia ini jelas beliau lagi adalah tahaluf siyasi permulaan antara UMNO dan Pas serta rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN).
“Ini bukan retorik, ini komitmen kami di dalam UMNO, di bawah kepimpinan baru insya Allah kita akan bekerjasama dengan Pas serta parti pembangkang yang lain.
“Dan hari ini cukup bersejarah kerana saya secara peribadi dan rasmi memang meminta supaya berceramah di Grand Finale kempen di Seri Setia bersama-sama dengan Pas untuk membantu kemenangan Dr Halimah Ali,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, parti itu telah menerima jemputan untuk menghadiri Muktamar Pas yang akan di adakan pada 15 September nanti.
“Saya baru dapat jemputan untuk hadir ke muktamar Pas, insya Allah saya akan datang. Timbalan Presiden dan barisan kepimpinan UMNO lain akan datang sebagai memberikan sokongan moral kepada Pas,” ujarnya.
Ahmad Zahid seterusnya menegaskan semak dan imbang di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor cukup penting dan Dr Halimah perlu diberikan kemenangan oleh pengundi di Seri Setia.
“Semak dan imbang di Selangor cukup penting, Dr Halimah Ali mampu melakukannya. Walaupun saya secara peribadi tidak mengenali beliau namun melihat kepada peranannya ketika menjadi Exco Selangor sebelum ini… saya hormati. Maka beruntunglah jika pengundi seri setia memilih beliau yang merupakan seorang pejuang muslimah Pas,” katanya.-MediaUMNO