PPBM Memang Berhasrat Bunuh UMNO

Dalam kempen PRN Johor, Bersatu Johor Bahru mahu PN bergabung dengan PH di bawah payung Mufakat Rakyat Johor (MRJ).

Jika gabungan bayangan yang disarankan oleh Bersatu JB itu wujud, maka situasi PRN Johor tidak ubah sama seperti PRU-14 tempoh hari, apabila BN-UMNO menentang PH.

Saranan Bersatu JB itu telah membenarkan hakikat bahawa Bersatu yang ditubuhkan atas idea Lim Kit Siang, mendukung sasaran untuk ‘membunuh’ UMNO sebagaimana didakwa oleh Dtk Hamidah Osman yang merupakan bekas Naib Presiden Bersatu.

Saranan Bersatu itu diluahkan oleh Ketua Bersatu JB Razrul Anwar Rusli, dengan PN, DAP, PKR, Amanah, Pejuang, Muda, dan Warisan akan menggembleng kekuatan menentang BN-UMNO yang berdiri sendirian.

Tiada kepastian, adakah PAS yang kini sudah menampakkan niat mereka untuk menolak Muafakat Nasional dan sekaligus menolak kerjasama dengan UMNO, akan turut bersekongkol dengan musuhnya DAP dan Amanah?

PAS yang lebih suka memilih untuk menerima 15 kerusi yang ditawarkan PN-Bersatu dan menolak 4 kerusi yang sedia dikorbankan BN-UMNO, pastinya suka bersama-sama dengan PH untuk turut ‘membunuh UMNO’ yang mereka ibaratkan ‘itik patah kaki’ serta pelbagai jenama binatang pincang berbanding dengan jenama mereka sebagai ‘parti syurga’.

Bukan Bersatu di Johor Bahru sahaja, malah Bersatu Pengerang juga mahu PH bekerjasama dengan mereka, supaya PH membuka laluan untuk Bersatu menentang BN-UMNO di DUN Penawar dan DUN Tanjung Surat.

Ketua Bersatu bahagian Pengerang, Mohd Faizal Asmar meminta agar PH berundur di DUN Penawar dan DUN Tanjung Sirat untuk memberi laluan kepada Bersatu menentang UMNO atas alasan PH telah kalah teruk di dua DUN tersebut kepada BN semasa PRU-14.

Walaupun hari penamaan calon akan berlangsung pada 26 Feb ini, namun nampaknya Bersatu sudah gelabah bangat untuk membolot kerusi DUN yang juga menjadi tumpuan parti-parti komponen PH.

Sebagaimana ego yang dibawa Presiden Bersatu, Mohd Faizal menempelak, bahawa PH harus sedar dan mengambil iktibar pada kekalahan mereka di kedua-dua DUN tersebut yang menunjukkan PH masih belum diterima oleh masyarakat Melayu di luar bandar.

Kenyataan Mohd Faizal itu memberi amaran bahawa PH akan kalah kerana masyarakat Melayu di Johor tidak menerima mereka.
Namun Faizal lupa bahawa semasa PRU-14, Bersatu adalah sebahagian daripada PH.

Nampak sangat bahawa Bersatu sebenarnya tidak mahu menerima BN-UMNO, selari dengan penubuhan mereka untuk ‘membunuh UMNO’.
Dengan itu juga, tindakan Menteri Besar, Dtk Hasni Mohammad membubarkan DUN Johor, adalah tindakan yang amat tepat sebagai satu tindak balas terhadap sikap musuh dalam selimut yang didukungi Bersatu.

Sebagaimana persepsi yang menyentuh sanubari UMNO, memanglah benar bahawa Bersatu adalah pengkhianat kepada BN, malah Bersatu juga pengkhianat kepada PH sebagaimana yang ditonjolkan oleh TS Muhyiddin Yassin dalam tragedi ‘Langkah Sheraton’.

Namun hakikatnya, Bersatu lupa bahawa Johor adalah tanah tumpah kelahiran parti keramat UMNO yang telah jatuh ke tangan PH pada PRU-14 atas dasar penipuan, janji palsu, fitnah dan pembohongan.

Bersatu hendaklah sedar diri bahawa mereka telah kalah teruk pada PRN Melaka, dan juga pada PRK Tanjung Piai.
Adakah sejarah 22 bulan pemerintahan lintang-pukang PH-Bersatu yang diterajui Tun Mahathir, mudah dilupakan oleh rakyat Johor?

Sama-samalah kita tunggu 12 Mac ini.

Dr Mamat Razali

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.