BN Menang, Bukti Rakyat Tolak Fitnah… Mahukan Kestabilan Demi Kemakmuran – Ku Nan

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan kesyukuran kerana Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan cemerlang dengan memperoleh dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam yang menyaksikan menerima mandat untuk kembali mentadbir kerajaan negeri.

Katanya, kemenangan ini adalah bukti bahawa rakyat tolak fitnah, caci-maki dan adu domba sebaliknya mahukan kesederhanaan sebagaimana pentadbiran BN yang sentiasa memelihara perpaduan dan persefahaman dalam kemajmukan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa, agama berbeza dan adat budaya berlainan tapi sentiasa rukun dan akrab.

“Alhamdulillah. Setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Salam tahniah atas kemenangan BN di PRN Melaka. Terima kasih pada pengundi. BN menang besar, sesuatu yang sangat manis dan sangat bermakna bukan hanya pada rakyat Negeri Melaka tapi dari seluruh negara juga.

“Tak dapat nak ungkap dengan kata-kata apabila ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ jadi pilihan pengundi. Syukur atas kejayaan besar BN,” katanya menerusi hantaran dalam laman facebooknya.

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, BN ‘Kata Di Kota Janji Ditepati’ bukan janji bulan bintang tapi semuanya atas realiti.

“Manifesto BN bukan hanya kitab tapi panduan pelaksanaan gerak kerja, BN ada ‘track record’ nyata bawa pembangunan dan kemajuan dan BN juga tahu bagaimana nak laksanakan pentadbiran.

“BN pernah kalah dan jadi pembangkang, tak tinggal kawan tapi tetap hormat lawan, tolak fitnah, caci maki dan adu domba tapi tuntut keadilan walaupun sampai terheret ke mahkamah sekalipun. BN tahu perundangan dan kedaulatan undang-undang, juga tetap aplikasi kesopanan dan kesusilaan kerana BN sendiri yang lakarkannya waktu jadi kerajaan.”

Katanya, PRN Melaka jadi bukti kesetiaan dalam gabungan bersama BN.

“BN tetap bersama rakan memberi manfaat yang amat besar pada UMNO, MCA dan MIC. Inilah parti asas yang membentuk perikatan untuk merdeka dulu dan kini, PRN Melaka menjadi langkah permulaan bahawa rakyat mahukan kestabilan demi kemakmuran.

“Rakyat mahukan kesederhanaan sebagaimana pentadbiran BN yang sentiasa memelihara perpaduan dan persefahaman dalam kemajmukan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa, agama berbeza dan adat budaya berlainan tapi sentiasa rukun dan akrab.

“BN muhasabah. PRN Melaka jadi bukti bahawa BN benar-benar berubah. Tak kiralah jadi kerajaan atau jadi pembangkang BN dah buktikan bahawa BN sentiasa berkhidmat pada rakyat.”

Jelasnya, BN aplikasi perubahan dan gerakkan misi untuk rakyat agar ‘Kestabilan demi Kemakmuran’ direalitikan.

“Rakyat membuat penilaian, pengundi membuat pilihan dan BN mendapat kejayaan. Inilah permulaan langkah menuju PRU ke-15.

“Terima kasih juga pada jentera-jentera BN dan semua pihak yang sentiasa bekerja keras untuk kemenangan BN. Dengan mandat rakyat BN jadi kerajaan negeri… Alhamdulillah. Terima kasih semua.” – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.