Tiada Istilah Calon Ketua Menteri Sementara, Sulaiman Md Ali Bakal Ketua Menteri Melaka
MELAKA, 15 Nov – Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada istilah calon ketua menteri sementara kerana Barisan Nasional (BN) tetap memutuskan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai bakal Ketua Menteri Melaka sekiranya BN diberi mandat pada 20 November ini.
Kata Timbalan Pengerusi BN itu, parti telah menetapkan bahawa Sulaiman akan terus memegang jawatan itu sehingga habis penggal.
“Insya-Allah, kalau dipanjang umur Sulaiman Md Ali akan memegang jawatan itu sehingga habis penggal.
“Tiada isu-isu ketua menteri sementara. Ini bukan cerita main-main…ini bukan ketua kampung sebab kita nak menstabilkan kerajaan negeri. Apabila sudah ada kestabilan itu, seorang ketua menteri mesti mentadbir dengan baik dan didukung oleh parti dan disokong oleh rakyat, maka ia harus menumpukan sepenuhnya tumpuan untuk menguruskan dan memakmurkan negeri,” katanya kepada UMNO Online sebentar tadi di sini.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya berkata, isu ketua menteri sementara itu hanya mainan politik yang cuba diadu domba serta cubaan meracun minda pengundi di Melaka ini oleh segelintir pihak yang berkepentingan.
“Jadi tak perlu mendengar…pengundi-pengundi dan rakyat Melaka, BN telah pun memutuskan di peringkat tertinggi parti bersama dengan Presiden dan rakan-rakan yang lain bahawa calon kita adalah Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang akan kita lantik dan menguruskan negeri ini sehingga satu penggal,” jelasnya lagi.
Justeru itu, di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini, Mohamad menasihati pengundi agar jangan terpengaruh dengan pelbagai khabar angin yang berlegar-legar.
“Diharapkan rakyat Melaka tidak termakan fitnah termasuk isu-isu yang cuba diputarbelitkan oleh pihak lawan,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE
Oleh: Mohd Saiful Sahak