Rekod BN, 22 Bulan PH Penanda Aras Pengundi Buat Pilihan – Ahmad Maslan

MASJID TANAH, 14 Nov  – Segala pembangunan dan segala pelaksanaan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sebelum ini merupakan penanda aras untuk pengundi membuat pilihan yang terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov nanti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika berkongsi pandangannya berpandangan soal kesihatan, ekonomi setempat termasuklah segala prasarana yang ada adalah daripada kerajaan sebelum ini yang diterajui BN.

Justeru katanya apa yang ada itu adalah bukti jelas dan merupakan indikator para pengundi sebelum mereka membuat pilihan kerana BN telah terbukti selama ini dalam membawa pembangunan dan agenda membela nasib rakyat.

“Banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) saya telah pergi sepanjang kempen ini dan ingin saya nyatakan bahawa segala pembangunan yang telah kita laksanakan harapnya tidak dilupai oleh pengundi.

“Segala prasarana yang kita bina, segala kemudahan pendidikan, kesihatan, perniagaan  yang telah dibina sehinggakan Melaka menjadi negeri maju di bawah BN negeri bersih di bawah BN, negeri sejahtera di bawah BN. Segalanya telah kita laksanakan apa yang telah kita laksanakan dan dilihat sebagi bukti kepada seluruh rakyat seluruh negeri Melaka,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan mesyuarat bersama jentera dan calon BN DUN Taboh Naning, Zulkifli Mohd Zain.

Ahmad Maslan seterusnya menambah soal kedua yang perlu ingat adalah bagaimana negara ketika diperintah oleh Pakatan harapan (PH) selama 22 bulan.

“Keduanya kita harap pengundi tidak lupa kepada segala apa yang telah berlaku selama 22 bulan di negeri dan juga negara yang mana ketika PH memerintah banyak perkara-perkara yang semua orang tahu amat menekan kepada rakyat  dan menyebabkan negara tidak stabil, ekonomi tidak meningkat.

“Itu ketika PH memerintah 22 bulan. Ketika PN memerintah 18 bulan COVID-19 mencanak tinggi dan kemudiannya kita ada ‘lockdown’ yang paling lama dalam sejarah yang menyebabkan ekonomi terus jatuh dan rakyat amat susah tetapi apabila kita di bawah pemerintahan Perdana Menterinya (dari) UMNO, Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri, pembaharuan serta pembaikan serta pemulihan amat baik tentang COVID-19, kes makin menurun maka rakyat semakin lega.

“Dan pada masa yang sama vaksinasi semakin meningkat rakyat juga bertambah lega apabila ekonomi dibuka, boleh rentas negeri, perniagaan dan pelancongan dibuka maka rakyat boleh kembali mencari makan dan ini melegakan rakyat,” kata Ahli Parlimen Pontian itu lagi.

Justeru tambahnya, ia satu kejayaan yang tiada sesiapa boleh memadamkan rekod tersebut.

“Jadi saya ingin sekali lagi mengulangi memohon jasa baik pengundi-pengundi jangan lupa banyak perkara, pertama jangan lupa jasa BN di negeri dan negara, keduanya jangan lupa rekod-rekod yang tidak baik dalam pemerintahan yang telah berlaku sebelum diambil alih oleh Datuk Seri Ismail Sabri,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.