Nak Tarik Sokongan Supaya Ada PRN? Silalah, UMNO Johor Tetap Bersedia – Shahrir Samad
KUALA LUMPUR, 12 Nov – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata UMNO Johor bersedia sekiranya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) jika Perikatan Nasional (PN) mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu.
“Nak tarik sokongan supaya ada juga PRN Johor? Silalah. UMNO Johor tetap bersedia,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.
Shahrir berkata demikian mengulas mengenai Pengerusi PN Tan Sri Mahiadin Yasin yang berkata, atas sifat prihatinnya kerajaan negeri Johor kepimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak ditumbangkan.
Muhyiddin ketika menyampaikan ceramah di Pentas PRN Melaka PN yang disiarkan secara maya malam tadi berkata, jika satu atau dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PPBM tarik sokongan dari kerajaan Johor sekarang, sudah boleh diadakan PRN Johor.
Ulas Shahrir juga, sebelum membicarakan mengenai PRN, soalnya mengapa pemimpin UMNO yang menjadi Menteri Besar (MB) Johor sekarang ini.
“Jawapannya mudah. Kerana sudah dua pemimpin PPBM yang pegang jawatan itu sebelum terpaksa dilantik Datuk Hasni (Ir Hasni Mohammad) sebagai MB. Iaitu MB Johor ketiga selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum 14).
“Kalau ada yang layak di kalangan ADUN PPBM, tentu tidak terlepas jawatan itu kepada UMNO/BN,” katanya lagi. – UMNO ONLINE