Agenda BN Serius Untuk Kestabilan Politik Demi Kemakmuran Rakyat – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Rakyat khususnya para pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diminta untuk memberikan kepercayaan kepada parti teras yang sudah terbukti pengalaman bagi memastikan wujudnya kestabilan politik demi menyumbang kepada kemakmuran negeri.

Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Barisan Nasional (BN) menawarkan calon sebagaimana kehendak orang ramai iaitu muka-muka baharu yang mewakili parti.

“Kita kata muka baharu adalah kombinasi, ada empat penyandang yang dikekalkan dan kombinasi ini termasuk lapisan umur iaitu kita menggaulkan lapisan umur antara pengalaman dan ilmu baharu anak muda yang nanti akan menjadi pasukan mantap.

“Parti memang berpengalaman, 62 tahun mentandbir negara, mempunyai pengalaman luas, boleh membawa dan memberikan tunjuk ajar untuk orang baharu dan kebimbangan rakyat tidak timbul kerana apa juga dasar parti selepas ini akan diterjemahkan oleh kerajaan negeri yang menjadi teraju kelak.

“Manifesto BN nanti ada dasar asas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dan parti akan sentiasa memantau. BN/UMNO ini mewakili rakyat maka apa-apa kepentingan rakyat sangat perlu,” katanya.

Dalam hal ini beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN memaklumkan, sekarang ini kerajaan pusat banyak kekangan kerana terpaksa berkongsi kuasa.

“Maka kerana itulah rakyat perlu pastikan Melaka ini ditadbir oleh satu parti teras yang boleh menubuhkan kerajaan, yang tidak sentiasa diugut untuk tarik diri dan lain-lain.

“Jadi berikanlah kepercayaan kepada BN lebih dari 15 kerusi supaya lebih kukuh. Parti teras mesti ada kerana ia akan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan dapat mengelakkan sebarang ugutan.

“Jika tak kukuh maka kita sentiasa disibukkan dengan politik, politik, politik saja sampai tak ada masa untuk meninjau dan membuat perancangan jangka panjang kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Bual Bicara ‘Gegau Melaka’ yang disarkan secara langsung menerusi laman facebook dan youtube UMNO Online, anjuran oleh Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS), malam tadi.

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan berkaitan akujanji yang perlu ditandatangani oleh calon BN dalam keseriusan parti mendepani pilihan raya.

“Kita ada tiga akujanji, pertama kebenaran untuk guna lambang BN, kedua akujanji untuk gunakan semua kemudahan-kemudahan BN dan yang ketiga akujanji yang dibuat bagi memastikan mereka tak melompat.

“Ini kerana BN benar-benar serius, maknanya calon perlu fikir banyak kali… cukuplah tentang lompat melompat kerana ini akan melemahkan kerajaan.

“Kerana di Parlimen belum lagi dibuat pembentangan maka apa jaminan BN kepada rakyat bahawa BN ambil langkah drastik dan amat ketat untuk pastikan wakil rakyat kita tidak melompat ialah dengan akujanji ini. “

Jelasnya, keseriusan BN untuk mengemudi kerajaan negeri akan termaktub dalam manifesto yang akan dilancarkan Rabu ini.

“Kita janji maka kita buat, bukan macam orang tu, macam-macam janji tapi apa pun tak ada. Kita nak lancarkan manifesto kita kerana kita janji apa yang kita akan buat, yang berpijak di bumi nyata.

“BN memang jujur dan serius terhadap kestabilan. Kestabilan ini penting. Kerajaan mana yang boleh menumpukan untuk melakukan pentadbiran sekiranya tak sabil kerana setiap pagi nak fikir dia cukup kerusi atau tidak, setiap hari fikir berapa ekor katak nak melompat, tapi jika kita menubuhkan kerajaan dengan jumlah majoriti yang baik maka saya yakin bahawa inilah punca bermulanya kemakmuran sebagaimana kita pernah lakukan lebih 60 tahun dulu.”

Ujarnya, pelabur juga akan melihat dan pergi kepada negara yang stabil dan tak akan melabur dalam negara yang politiknya tak stabil.

“Pengundi akan menilai… harap pengundi pandai membuat keputusan sama ada nak memilih orang yang melompat-lompat atau wakil rakyat yang telah mengikat janji dengan parti masing-masing dan tidak ada tukar-tukar.

“Jadi rakyat nilailah elok-elok, jangan cakap saja tapi tak buat dan bila kena diri sendiri ada pula katak berprinsip seperti sana.

“Untuk jentera, sama-sama bertungkus-lumus dan bekerja kuat, setiap waktu penting dan pastikan berjumpa seramai mungkin pengundi dan pada hari pengundian pastikan bahawa keluar pengundi untuk laksanakan tanggungjawab,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.