Strategi PRN Melaka: Jangan Banyak Spekulasi… Kita Tunggu Keputusan MKT – Azhari

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berharap agar semua pihak menunggu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menetapkan strategi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sama ada untuk bersama parti mana dan jangan banyak spekulasi nanti memakan diri.

Katanya, pada analisis awal menunjukkan parti PPBM dan Pas akan bergabung dengan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) namun tetap berdepan pertempuran yang sukar.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, PPBM ketika diterajui oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bertanding di enam kerusi DUN di Melaka, tetapi hanya menang dua sahaja di Paya Rumput dan Telok Mas sedangkan Pas pula gagal memenangi sebarang kerusi DUN di Melaka.

“Baru-baru ini parti PPBM, Pas dan  Gerakan telah bersepakat untuk bertanding pada PRN Melaka menggunakan lambang PN. Ini yang mendorong mereka kemudiannya mengumumkan bahawa PN akan bertanding di semua 28 kerusi DUN di Melaka,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Persoalannya, adakah mereka mampu untuk memenangi kerusi secara majoriti dengan ‘trek rekod’ yang tidak berapa memberangsangkan.

“Kita di peringkat akar umbi UMNO diharap tidak melenting atau berasa resah dengan berita yang masih panas itu.

“Sebaiknya akar umbi menilai kemampuan kesemua parti yang akan bertanding di bawah PN tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri  Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan parti UMNO tetap dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada sebarang pilihan raya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.