Individu Lengkap Vaksin Dibenar Rentas Negeri Mulai Esok – PM Ismail Sabri
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.
“Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama selama ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menyokong kempen imunisasi COVID-19,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan platform media sosial petang ini.
Larangan rentas negeri dikuatkuasakan pada 10 Mei lepas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan peningkatan mendadak kes selain Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga pandemik yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.
PKP seluruh negara pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac hingga 3 Mei 2020.
PKP 2.0 dilaksanakan ke atas enam negeri melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dari 13 Jan hingga 26 Jan sebelum dilanjutkan untuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang sehingga 4 Mac lepas.
Ismail Sabri dalam pada itu menegaskan kebenaran pergerakan rentas negeri tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Beliau turut mengingatkan Keluarga Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan kerana ia penting bagi membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.
Perdana Menteri berkata sekiranya perkara itu diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak COVID-19 kembali meningkat, sambil menyifatkan orang ramai sebagai barisan hadapan untuk melindungi keluarga serta komuniti daripada jangkitan virus itu.
“Sekiranya ingin pulang ke kampung untuk berjumpa ibu bapa atau merentas negeri, Keluarga Malaysia disaran melakukan ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan. Bagi yang bergejala seperti demam, batuk, selesema dan sesak nafas, saya nasihatkan tangguhkanlah dahulu perjalanan.
“Sekiranya anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya.
Perdana Menteri berkata walaupun tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan.
Katanya pemeriksaan secara rawak tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).