Rakyat Perlu Elak Kenyataan Perkauman, Jayakan Aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ – Norliza

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim menegaskan bahawa rakyat perlu berdiri teguh di bawah konsep ‘Keluarga Malaysia’ dan harus mengelak membuat sebarang kenyataan berunsur perkauman, keagamaan, bahasa dan sebarang bentuk diskriminasi dan penghinaan kepada wanita dan kanak-kanak.

Ujarnya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO, penghayatan perkara kelima di bawah Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan perlu dipupuk secara berterusan dalam menjayakan aspirasi konsep ‘Keluarga Malaysia’ sebagai usaha murni bagi semua rakyat berada di bawah gagasan kebersamaan.

“Atas faktor itu, tidak ada sebab kita perlu mengecam, mencemuh, mengkritik yang keterlaluan apatah lagi berunsur perkauman terhadap pemain perseorangan wanita negara, S.Kisona yang membawa nama negara dalam Kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaan, Finland,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, tindakan segelintir rakyat Malaysia yang masih berfikiran jumud perlu dielakkan sama sekali.

“Kenyataan buruk seperti ini tidak harus ada. Sukan adalah satu-satunya platform yang menyatupadukan semua rakyat dan amatlah bersesuaian dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di negara ini.

“Dikala semua teruja dengan persembahan semua pemain Malaysia dalam aksi Piala Sudirman termasuk S.Kisona yang jelas membuktikan semangat juang dalam setiap permainannya, yang tidak gentar bertemu dengan lawan di ranking yang lebih baik, tetapi dicalit pula dengan komen berunsur perkauman ini.

“Janganlah kita sebagai peminat sukan tanah air mengkritik sehingga perkara yang melibatkan agama, bangsa mahupun warna kulit. Menang atau kalah, itu adalah adat permainan dalam sukan.”

Untuk makluman, katanya, S.Kisona, seorang pemain wanita muda berusia 23 tahun dan adalah pemain ranking ke-53 dunia dan beliau bukanlah baharu dalam sukan badminton tanah air malah dia antara pemain senior di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 selain beberapa kejuaraan antarabangsa yang disertainya sejak 2017 bergelar pemain negara.

“Lebih menarik, S.Kisona mempunyai kebolehan bertutur dalam lima bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis selain bahasa ibundanya, Tamil yang jelas sangat bertepatan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

“Teruskan kecemerlangan S.Kisona serta semua pemain badminton negara kerana rakyat Malaysia sentiasa memberi sokongan kepada pasukan negara,” katanya lagi yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang merangkap Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit