RMK-12 Satu Dokumen Dan Agenda Kritikal – Khaled Nordin

Perdana Menteri telah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025. Dokumen lengkap sepanjang 556 muka surat tersebut memuatkan hala tuju serta fokus Malaysia untuk lima tahun akan datang. Antara lain, sembilan pemacu ekonomi negara dengan peruntukan kira-kira RM400 bilion dengan 14 tindakan inovatif.

2. Secara umumnya, RMK-12 masih berkisar tentang sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi. Jadi, ia membayangkan banyak perkara. Misalnya, menjelang tahun 2025 pendapatan purata isi rumah di Malaysia akan mencecah RM10,000 sebulan.

3. Pada masa yang sama, pelaburan atau aktiviti ekonomi yang mengangkat kelestarian alam sekitar akan diberikan perhatian yang lebih serius akan semakin mendapat tempat.

4. Kesemua ini adalah perkara yang relevan dan kritikal. Lebih-lebih lagi apabila mutakhir ini, isu kecukupan pendapatan untuk memastikan kehidupan yang bermaruah serta kerosakan alam sekitar akibat kerakusan pembangunan sering menjadi subjek utama dalam banyak wacana kesejahteraan sosial rakyat.

5. Walau bagaimana pun, saya mempunyai beberapa perkara yang diharapkan akan turut diberikan perhatian oleh pihak kerajaan dalam menterjemahkan RMK-12.

6. Pertama sekali, selain penekanan aspek pembangunan mega yang bersifat fizikal, wujud keperluan mendesak untuk Kerajaan memastikan adanya intervensi khusus yang menyeluruh dan berkesan bagi memastikan generasi tertinggal (the lost generation) sama ada di bangku sekolah atau IPT diberikan perhatian.

7. Mereka yang sudah kehilangan hampir dua tahun pengajian, mesti mendapat peluang atau diberikan program khas sepanjang empat tahun akan datang untuk mengejar kembali pendidikan mereka yang sudah jauh tertinggal. Selaras dengan Policy Enabler 1 berkaitan Pembangunan Bakat Masa Depan, aspek kritikal ini tidak boleh dikesampingkan sama sekali. Malah, ia sebenarnya menuntut keseluruhan sistem dan pendekatan pendidikan sedia ada disemak dan diselaraskan semula secara besar-besaran.

8. Kedua, dalam konteks adaptasi teknologi dan pendigitalan, lonjakan harus dimulakan secara radikal dalam sektor perkhidmatan awam. Segala pelan pertumbuhan, inovasi dan pemfokusan terhadap aspek ekonomi baharu sangat bergantung kepada kecekapan dan kepantasan perkhidmatan awam.

9. Ketiga, Malaysia adalah antara salah satu negara yang selama ini sangat mesra pelabur dan pelawat. Program dan dasar utama kita mesti mengembalikan imej mesra dan welcoming ini. Misalnya, semakan semula dasar dan peraturan Malaysia My Second Home (MM2H). Ia mesti memudah dan menarik minat orang luar ke negara kita untuk bekerja, membina kehidupan dan tinggal di sini. Peraturan sedia ada tidak bersifat sedemikian.

10. Keempat, keseimbangan kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan (decentralisation of power). Bagi membolehkan satu lonjakan pembangunan yang rancak dan lancar, kerajaan negeri harus diberikan kuasa dan mandat yang lebih besar, penting dan bermakna. Bukan sekadar menurut sahaja pelan dan arahan kerajaan Persekutuan.

11. Pembahagian kuasa dan tanggungjawab yang lebih seimbang ini membolehkan semua kerajaan negeri (sama ada dari pihak kerajaan atau negeri pembangkang) memeta hala tuju dan agenda pembangunan mereka dengan lebih strategik dan bersesuaian.

12. Secara kesimpulannya, RMK-12 adalah satu dokumen dan agenda kritikal. Kita mesti memberikan perhatian dan fokus yang serius dalam memastikan ia bukan sekadar mencapai sasaran. Tetapi berupaya memberikan lonjakan yang besar kepada negara.

13. Kita sudah kerugian dan tertinggal dalam banyak perkara. Bukan sahaja kerana pandemik global yang masih belum reda. Tetapi disebabkan percaturan politik yang tidak berkesudahan dan kegagalan kita untuk selalunya melaksanakan apa yang dirancang dengan baik. Ini adalah masa untuk Malaysia sebagai sebuah negara menebus kembali jalan masa depannya. Dengan yakin, bermaruah dan membanggakan.

DATUK SERI HJ. MOHAMED KHALED NORDIN
Naib Presiden UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.