Sultan Perak Jalankan Fungsi Yang Di-Pertuan Agong Sepanjang Lawatan Khas Agong Ke UK
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke UK itu bermula hari ini hingga 27 Sept dan kemudiannya Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula 27 Sept.
“Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt. Sekembali ke tanah air kemudian, Seri Paduka berdua berkenan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Ahmad Fadil berkata lawatan khas itu merupakan kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Dis 2019.
“Aturcara lawatan khas ini turut diisi dengan pertemuan antara Seri Paduka berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London,” katanya.
Selain itu, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst iaitu tempat Baginda pernah menimba ilmu ketenteraan dari 1978 hingga 1979.
Beliau berkata Seri Paduka turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan UK Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.
Untuk rekod, Sir General Nicholas Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.
Dari segi hubungan dua hala, UK merupakan rakan dagang ke-18 terbesar Malaysia pada 2020 dengan jumlah dagangan direkodkan antara kedua-dua negara sebanyak RM16.59 bilion (GBP3.08 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding 2019.
Malaysia merekodkan nilai eksport ke UK sebanyak RM9.91 billion (GBP1.84 billion) manakala nilai import dari UK adalah sebanyak RM6.68 billion (GBP1.24 billion) pada tahun lepas.- BERNAMA