Kepimpinan Pakatan Harapan Celaru? – Shahril Hamdan
KUALA LUMPUR, 6 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mengucapkan “syabas” atas keprihatinan Pakatan Harapan Selangor terutamanya Pengerusi PH Selangor yang telah bermesyuarat bersama rakan komponen lain setelah beberapa hari membisu ekoran terbongkarnya penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) secara senyap-senyap pada bulan Mei 2021.
Jelasnya, dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, Pengerusi PH Selangor yang kebetulan juga MB Selangor berjanji untuk membawa isu ini kepada Menteri Besar (MB) Selangor serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
“Kerajaan PH Selangor sendiri yang nyahwarta hutan; semua parti ada wakil dalam Exco Kerajaan negeri dan mustahil tak tahu keputusan nyahwarta pada bulan Mei. Setelah kecoh, mereka sendiri acah bantah keputusan yang dibuat. Tiada mohon maaf, tiada mengaku terkhilaf,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan isu terbabit.
Bidasnya lagi, itu cerita Selangor sedangkan terkini, kepimpinan Keadilan Negeri Sembilan hilang kepercayaan terhadap Pengerusi PKR Negeri Sembilan (NS) yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Antara sebab yang dikemukakan adalah MB NS tidak memainkan peranan dalam usaha memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi pilihanraya dan ini boleh menyebabkan kekalahan PH di NS.
“Parti lain sibuk menyalurkan bantuan, memberi vaksinasi, berusaha untuk membawa Malaysia keluar dari situasi terkini.
“PH? Bermesyuarat menolak keputusan yang diri sendiri buat, dan bermesyuarat jatuhkan MB dari parti sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online