Shahanim Harap Kerajaan Segerakan Bantuan Untuk Rakyat
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ketua UMNO Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff mengharapkan agar kerajaan baharu khususnya mereka yang baharu dilantik untuk mempertimbangkan bantuan tambahan wang tunai dan bantuan bakul makanan serta mempertimbangkan penambahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada mereka yang terkesan.
Menurut beliau ianya bagi menampung pembelanjaan harian yang semakin meruncing ketika negara terus berdepan dengan pandemi COVID-19.
“Umum mengetahui penularan wabak COVID-19 ini telah memberikan kesan kepada rakyat baik yang di bandar mahupun di kampung-kampung. Malah kes yang melibatkan masyarakat yang kehilangan kerja, tekanan jiwa, bunuh diri, kematian kaum keluarga turut menunjukkan peningkatan.
“Di masa yang sama, UMNO Sungai Petani turut mengharapkan agar Program Vaksinasi Kebangsaan dapat digerakkan secara maksimun bagi membolehkan negara mencapai Imuniti Kelompok (Herd Immunity) dapat dicapai dengar kadar segera.
“Saya turut menyeru agar Kementerian yang bertanggungjawab segera menangani isu ‘kekurangan vaksin’ di beberapa tempat sehingga menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Shahanim seterusnya menambah walaupun ada segelintir yang melahirkan rasa kurang senang atas pengumuman ahli kabinet, namun beliau percaya Perdana Menteri telah mengambil kira semua faktor khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat.
Tambahnya adalah diingatkan kerajaan yang baharu ditubuhkan ini adalah atas gabungan pelbagai fraksi dan parti politik oleh itu sebarang perubahan drastik boleh mengakibatkan rakyat menjadi mangsa.
“Ambillah pedoman daripada pepatah Inggeris ‘It’s better not to rock the boat when you first start a job’ atau peribahasa Melayu, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Dalam keadaan pandemik dan kesukaran ekonomi, perubahan besar anggota kabinet dan portfolio akan merencatkan kelicinan jentera kerajaan buat sementara waktu.
“Ini kerana seseorang menteri yang baharu akan mengambil masa berbulan untuk mengenali dan memahami perjalanan kementerian tersebut sedangkan kita mengharapkan keputusan segera untuk memastikan angka jangkitan dapat diturunkan dengan kadar segera.
“Adalah penting kita semua memberikan sokongan dan dokongan kepada kabinet ‘Keluarga Malaysia’ ini dan melaksanakan ‘gencatan politik’ buat sementara waktu. Kerana pada ketika ini nyawa dan kesejahteraan rakyat adalah yang paling utama,” ujarnya.- UMNO Online.