Negara Perlukan Kerajaan Yang Stabil Dan Berpengalaman – Sharkar Shamsudin

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap krisis politik negara yang berlaku ketika ini dijadikan pengajaran buat semua pihak kerana ianya tidak membantu dalam menghadapi krisis kesihatan akibat COVID-19.

Jelas beliau, disebabkan itu negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman bukan sahaja untuk mentadbir negara malah bagi menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi.

“Usahlah kita terus mencari kesalahan mana-mana pihak kerana keputusan telah pun dibuat oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin. Terima kasih sepanjang perkhidmatan yang diberikan oleh beliau.

“Selepas ini, kita serah kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik kerajaan baharu supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.

“Apa yang penting, krisis kesihatan ekoran wabak COVID-19 dapat segera diatasi, negara segera mencapai imuniti kelompok dan rakyat pulih daripada kemelut kekalutan ekonomi yang berlaku,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ketua UMNO Bahagian Temerloh itu juga berkata pentadbiran kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) adalah sekadar ruang untuk pemimpin-pemimpin UMNO menyumbang kepada bangsa dan negara.

Sementara itu beliau juga berharap ahli UMNO untuk kembali bersatu hati berpaut bersama-sama dengan parti keramat orang Melayu ini untuk kesejahteraan.

“Kita perlu terus bersatu hati bukan sahaja di bawah UMNO malah Barisan Nasional (BN) yang selama ini telah terbukti sebagai pentadbir yang berjaya di tanah air tercinta ini.

“Seteruk mana pertengkaran antara dua beradik akan berbaik semula seperti biasa. Sama seperti pepatah air dicincang tidak akan putus.

“Itulah yang perlu dilaksanakan UMNO dan BN. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.