Kaji Balik Kebenaran Pengembara Dibenarkan Kuarantin Di Rumah – Sharkar

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 yang masih membimbangkan di negara ini, kerajaan Pusat digesa mengkaji semula kebenaran pengembara warganegara dan warga asing yang mempunyai kediaman di Malaysia serta yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 menjalani kuarantin wajib di rumah.

Katanya, ini bukan masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan perkara itu kerana kemunculan varian baharu yang lebih ganas seperti ‘Lambda’ dan ‘Delta Plus’ yang  boleh menyebabkan kesukaran pihak berkuasa mengawal pandemik itu dalam negara ini.

Jelasnya, tambahan lagi difahamkan varian Lambda masih tiada ubat yang boleh merawat pesakit yang dijangkitinya.

“Kerajaan perlu segera mengkaji kebenaran itu kerana kita bimbang walaupun mereka (pengembara) lengkap dua dos vaksinasi, namun ia bukan jaminan mereka tidak akan dijangkiti wabak pembunuh senyap itu.

“Tambahan lagi dengan kemunculan varian baharu Lambda, kita bimbang pengembara ini akan menularkan lagi jangkitan pandemik ini terutama kepada rakyat yang masih belum divaksin.

“Mereka (pengembara) perlu dikuarantin seperti biasa di pusat kuarantin disediakan kerajaan dan dilakukan ujian pengesanan (calitan) COVID-19 bagi memastikan mereka benar-benar bebas dari wabak berkenaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya lagi, sebagai contoh, mereka yang dipakaikan gelang merah jambu atau ‘pink’ pun ada antaranya tidak patuh SOP ditetapkan dan tetap keluar rumah, inikan pula pengembara berkenaan yang tentunya tidak akan memakai apa-apa tanda di tubuh badan mereka.

“Ini suatu perkara yang serius dan saya berharap kerajaan Pusat akan segera mengkaji semula kebenaran itu kerana kita masih lagi ‘bergelut’ untuk menangani varian Delta pada ketika ini.

“Jika muncul pula varian Lambda di negara ini yang mana ia lebih ganas dan bahaya dibimbangi boleh membuatkan sistem kesihatan negara lumpuh.

Beliau yang juga Exco Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang berharap agar Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dapat mengetengahkan isu ini dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN)di peringkat Pusat akan datang supaya kerajaan Pusat dapat mengkaji semula kebenaran tersebut.

“Cadangan lain kita bersetuju dengan keputusan kerajaan membenarkan rakyat yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 untuk aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama.

“Kita sudah lebih setahun setengah berdepan norma baharu ekoran penularan wabak pandemik ini dan kita yakin rakyat bersedia menghadapinya sekali gus dapat kembali melonjakkan industri pelancongan negara,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit