Pemuda UMNO Johor Ambil Iktibar, Junjung Titah Sultan Johor – Mohd Hairi

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor hari ini menyambut baik titah ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor sempena majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke Empat Dewan Negeri Johor Yang Ke 14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata titah DYMM Sultan Johor yang tidak mahu perbalahan antara wakil rakyat di negeri ini berterusan sehingga kerajaan Negeri sedia ada jatuh dan Baginda sendiri tidak teragak-agak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika ada yang cuba jatuhkan kerajaan Negeri sedia ada pada hari ini.

“Ternyata, formula Barisan Nasional (BN) selama ini dalam konteks menyatupadukan semua wakil rakyat dan masyarakat adalah paling berkesan dan malah sepanjang tempoh BN menjadi kerajaan tidak pernah timbul titah ucapan seperti ini oleh DYMM Sultan Johor.

“Johor berpolitik ada caranya iaitu ‘cara Johor’ dan Johor tetap jadi Johor dan tidak perlu kita terikut-ikut dengan rentak politik luar yang tidak rencam dan lain rentaknya bagi masyarakat serta persekitaran Johor,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambah Hairi, Pemuda UMNO Johor berpandangan amaran dan teguran dititahkan Sultan Johor ini wajar dipandang serius dan menunjukkan betapa pentingnya kerajaan yang stabil dalam mentadbir urus negeri atau negara.

“Suka saya ingatkan juga kepada pemimpin-pemimpin politik agar kenyataan titah DYMM Tuanku Sultan Johor itu bukanlah untuk dijadikan penanda aras Tuanku menyebelahi mana-mana pihak.

“Tidak usahlah memainkan atau mempergunakan kenyataan Tuanku sebagai modal untuk kepentingan peribadi atau politik,” katanya lagi.

Pemuda UMNO Johor berharap persidangan DUN kali ini digunakan sebaik mungkin oleh semua wakil rakyat tidak kira kerajaan mahupun pembangkang untuk sama-sama mencari solusi dan pendekatan terbaik untuk Johor mendepani cabaran semasa COVID-19.

“Rakyat di bawah terus terkesan dan mereka mahukan sesuatu daripada kerajaan negeri dan semua wakil rakyat, jadi bersidanglah dengan tenang tanpa sebarang emosi atau tekanan demi menjunjung titah DYMM Sultan Ibrahim,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.